SEREMBAN: Seorang lelaki ditangkap polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, pada 5 Februari lalu selepas dipercayai terlibat dalam penipuan penawaran baucar penginapan tidak wujud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, suspek berusia 56 tahun ditangkap di Ampang, Selangor dan turut dirampas dua unit telefon bimbit dan sekeping kad mesin pengeluaran automatik (ATM).
“Tangkapan ini adalah susulan laporan polis daripada seorang guru yang mendakwa ditipu dalam urusan jual beli baucar penginapan Hotel Lexis Hibiscus tidak wujud pada 21 Ogos 2020 membabitkan kerugian RM1,214.
“Mangsa diberikan baucar penginapan berkenaan namun baucar tersebut tidak sah dan tidak wujud,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, suspek hanya menghebahkan jualan baucar penginapan melalui aplikasi WhatsApp.
“Hasil siasatan lanjut mendapati terdapat 13 laporan polis lain di sekitar negeri ini yang bersangkutan dengan kes baucar penginapan tidak wujud yang semuanya membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM24,440,” kata beliau.- UTUSAN