Lebih 400 individu rugi RM54 juta didakwa ditipu Datuk Seri, Datin Seri

Lebih 400 individu rugi RM54 juta didakwa ditipu Datuk Seri, Datin Seri

maut
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 400 individu didakwa kerugian RM54 juta akibat ditipu skim pembelian saham membabitkan sebuah syarikat milik pasangan bergelar Datuk Seri dan Datin Seri yang juga bekas kakitangan sebuah syarikat penyiaran swasta.

Difahamkan, Datuk Seri berkenaan dikatakan bekas pengurus pemasaran kanan dan isterinya pula bekas wartawan penyiaran yang menyasarkan golongan profesional, doktor, polis dan pesara sebagai mangsa.

Sebuah akhbar melaporkan, seorang mangsa yang mahu dikenali Ana berusia 54 tahun berkata, jaminan pulangan dividen sebanyak empat peratus setiap bulan telah dijanjikan pasangan berkenaan untuk menjerat mangsa supaya membeli saham berkenaan.

Selain itu, Ana yang menjalankan perniagaan sendiri berkata, sifat rendah diri, lemah lembut dan pemurah Datuk Seri itu yang memberi sumbangan wang ihsan, coklat dan bunga dari semasa ke semasa menjadikan dirinya tertarik dengan tawaran berkenaan.

“Sepanjang tahun lalu memang dapat dividen dijanjikan itu, namun bermula bulan lalu pembeli saham mula tidak menerima pulangan berkenaan.

“Kalau diikutkan memang setiap tujuh hari bulan akan terima dividen. Kita hubungi syarikat itu, mereka memaklumkan akan bayar dividen lambat sedikit iaitu pada 8 atau 9 Januari, namun sampai sekarang tiada berita dan bulan ini pun sama.

“Dianggarkan RM54 juta kerugian dialami lebih 400 pembeli saham itu termasuk saya. Kami berasa marah, tidak berpuas hati dan cuba hubungi pihak syarikat dan Datuk Seri itu tetapi tidak berjawab, malah hantaran e-mel pun tidak dibalas. Mereka menghilangkan diri tanpa khabar berita,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata wanita itu, dia ada pergi ke pejabat syarikat itu Desa Park City, dekat sini pada pertengahan bulan lalu untuk mendapatkan penjelasan, namun hampa selepas premis sudah dikosongkan.

Cubaan pergi ke rumah Datuk Seri itu berdekatan pejabat terbabit juga gagal kerana dikawal ketat pengawal keselamatan.

“Selepas beberapa hari, saya mendapat panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa sebagai polis minta saya datang ke pejabat komersial Bukit Aman di Kuala Lumpur berkaitan pembelian saham itu.

“Saya kemudian hadir dan bertemu empat individu dengan seorang mendakwa polis, seorang penasihat undang-undang Datuk Seri itu dan dua daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC).

“Mereka melampirkan dua dokumen kononnya saya terbabit pengubahan wang haram dan jaminan tidak mengganggu Datuk Seri, ahli keluarga serta rakannya. Individu terbabit mendesak saya untuk tandatangani dokumen itu serta mengugut akan dipenjarakan jika gagal berbuat demikian,” jelasnya.

Mengulas lanjut, kata mangsa, dia hanya menyedari kumpulan itu membuat penyamaran selepas menandatangani dokumen jaminan itu.

“Susualan itu, satu laporan polis berkaitan perkara itu dan penipuan saham berkenaan dibuat di Balai Polis Travers pada 31 Januari lalu,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang Perunding kewangan dikenali Azman, 35, pula mendakwa kerugian RM30,000 manakala 46 kenalannya RM4.68 juta.

Jelasnya, ada dalam kalangan mangsa ibu tunggal dan penoreh getah dan mereka ini menggunakan wang disimpan berpuluh tahun untuk dapatkan dividen ini.

“Kita minta syarikat itu pulangkan modal wang diberikan mangsa. Ini amanah syarikat dan tidak boleh sewenang-wenangnya ditangani seperti ini.

“Datuk Seri boleh berjumpa dengan kami jelaskan apa sebenarnya berlaku. Jangan hilangkan diri dan membiarkan isu ini berbulan-bulan seolah-olah tiada apa yang berlaku,” tegasnya.

Sementara itu, pesara dikenali Johari, 59, berkata, dia kerugian RM90,000 manakala lapan kenalannya RM730,000 selepas terbabit pembelian saham berkenaan.

Katanya, dia mula terbabit pembelian saham itu pertengahan tahun lalu dan mewar-warkan kepada rakan selepas yakin dengan sistem pelaburan berkenaan.

“Pembelian saham keutamaan dengan dividen tetap memang diperakui SC, malah ada syarikat yang menawarkan dividen hingga 4.5 peratus.

“Namun dalam hal ini Datuk Seri itu sudah mengambil kesempatan dan menipu kami. Pihak syarikat juga tidak memberi sebarang penjelasan ke mana duit kami pergi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN