PETALING JAYA: Pemimpin DAP, Lim Kit Siang menyeru menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melanjutkan kempen pendaftaran pengundi pos dalam talian mulai hari ini yang sepatutnya berakhir minggu depan.
Katanya, ini berikutan terdapat dakwaan hanya kira-kira 1,000 pengundi telah mendaftar sebagai pengundi pos daripada Singapura sedangkan terdapat 200,000 pengundi Johor di sana
“Jika ini benar, maka ia layak menjadi satu-satunya kegagalan teknologi maklumat terbesar di dunia.
“Ini sepatutnya tidak menimbulkan masalah dalam era internet terutamanya kerana pengundi Johor di Singapura telah diberikan kurang daripada 10 hari untuk latihan pendaftaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, permohonan undi pos secara dalam talian bagi warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih dan layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 dibuka bermula 9 Februari lalu sehingga 24 Februari depan.
Kit Siang mendakwa, proses pendaftaran pengundi pos oleh SPR telah dibelenggu oleh pelbagai masalah dan isu teknikal.
Katanya, ini berikutan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nenas, Yeo Tung Siong menerima aduan mengenai isu teknikal ini daripada lebih 10 pengundi Johor yang bekerja di Singapura sejak dua hari lepas.
“Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Chew Chong Sin juga mencadangkan SPR mempertingkatkan sistem undi pos di luar negara untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana adanya diaspora Malaysia yang besar khususnya di Singapura.” ujarnya –UTUSAN











