Ketagihan internet di Malaysia agak tinggi - Annuar - Utusan Malaysia

Ketagihan internet di Malaysia agak tinggi – Annuar

ANNUAR Musa bersama Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Cyber Security Malaysia, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Mohd Azumi Mohamed (kiri) menunjukkan Laporan Eksekutif Kajian Tanda Aras Tahap Kesedaran Keselamatan Siber pada majlis sambutan Hari Keselamatan Internet 2022 - Edisi Malaysia dan pelancaran Laporan Eksekutif Dapatan Kajian Tanda Aras Kesedaran Keselamatan Siber 2021/2022 di Hotel Marriot , Putrajaya. Turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Ts. Dr. Amirudin Abdul Wahab (dua kanan). - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Marah apabila tidak  dibenarkan menggunakan telefon pintar dan tidur lewat kerana leka melayari internet di telefon pintar.  

Itu antara tanda-tanda ketagihan internet yang diperoleh hasil dapatan Laporan Eksekutif Dapatan Kajian Tanda Aras Tahap Keselamatan Siber Dalam Kalangan Murid Sekolah dan Ibu Bapa 2021/2022.

Laporan itu dikeluarkan Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membabitkan 16,908 responden terdiri daripada murid sekolah dan ibu bapa di seluruh negara. 

Responden berkenaan terdiri daripada 13,953 murid sekolah rendah dan menengah serta murid pendidikan khas selain 2,955 ibu bapa. 

Mendedahkan perkara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kanak-kanak yang ketagihan internet juga cenderung untuk bermain dengan telefon pintar berbanding keluar bermain dengan kawan-kawan. 

 

Ketagihan internet

Menurut beliau, difahamkan, kadar ketagihan internet di Malaysia ketika ini agak tinggi berbanding kebanyakan negara-negara lain. 

“Bila saya baca laporan, saya tengok mungkin saya juga salah seorang ketagihan internet kerana setiap kali bangun pagi, perkara pertama saya raba adalah telefon.

“Kajian mendapati ketagihan internet berlaku disebabkan tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan ibu bapa dan ia boleh mengundang risiko keselamatan siber terhadap generasi muda,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Keselamatan Internet 2022 (Edisi Malaysia) dan pelancaran laporan kajian itu, di sini hari ini. 

Justeru, katanya, terdapat beberapa komponen utama perlu diberi penekanan termasuk akses kandungan internet tidak sesuai, risiko transaksi dalam talian, kurang kefasihan digital, kelemahan pengurusan kata laluan, ancaman orang tidak dikenali dan serangan pancingan data. 

Annuar berkata, kajian sama mendedahkan tumpuan generasi muda terhadap aktiviti pembelajaran dalam talian turut meningkat selaras dengan perkembangan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu. 

Katanya, terdapat peningkatan sebanyak 17.18 peratus dari aspek pemilikan telefon pintar selain peningkatan 60 peratus dari aspek melayari media sosial berbanding kajian hampir sama pada tahun 2016.

Jelasnya, beliau berharap hasil kajian itu dapat digunakan sebagai rujukan dan panduan untuk pembangunan program serta modul-modul kesedaran keselamatan siber melibatkan generasi muda dan juga ibu bapa. 

Dalam pada itu, Annuar berkata, sempena Hari Keselamatan Internet 2022, kementeriannya turut melancarkan Kempen KITA Siber sejajar dengan objektif Rukun Negara bagi mencipta masyarakat yang adil di mana kemakmuran. 

“Elemen KITA iaitu Komunikasi, Inklusif, Tanggungjawab dan Akrab harus diamati dan dijadikan panduan oleh seluruh Keluarga Malaysia untuk menjadi warga digital yang bertanggungjawab ke atas diri sendiri serta orang lain. 

“Ini pastinya dapat membentuk komuniti digital yang berilmu, berdaya tahan dan mapan dalam mendepani ancaman siber yang semakin dinamik,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN