PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keutamaan kerajaan pada masa ini adalah memastikan Keluarga Malaysia di Ukraine berada dalam keadaan selamat.
Perdana Menteri berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Kiev kini berusaha memberikan perlindungan dan menyediakan tempat selamat untuk rakyat Malaysia sebelum mereka dapat pulang ke Malaysia.
“Kerajaan dukacita dengan perkembangan yang berlaku di Ukraine.
“Saya dimaklumkan bahawa terdapat 23 warganegara Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kiev, 12 orang pulang ke tanah air manakala 11 orang masih di sana,” katanya menerusi Twitter beliau hari ini.
Perdana Menteri pada masa sama berkata, Malaysia berharap agar satu jalan penyelesaian damai yang terbaik di antara Ukraine dan Rusia dapat segera dicapai.
Katanya, langkah itu seterusnya berjaya menyelesaikan konflik tersebut.
Terdahulu, Ukraine memaklumkan sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan sembilan lagi cedera akibat serangan Rusia, memetik laporan antarabangsa Agensi.
Menurut perkhidmatan pengawal sempadan Ukraine, tentera darat Rusia menyeberang ke negara itu dari pelbagai arah, beberapa jam selepas Presiden Vladimir Putin mengumumkan pelancaran operasi ketenteraan.
Jelas agensi itu, sejumlah kereta kebal Rusia dan kenderaan berat lain menyeberangi sempadan di beberapa kawasan utara serta dari selatan Semenanjung Crimea dan seorang anggota tentera maut dalam serangan di sepanjang sempadan Crimea.
Terdahulu, pihak berkuasa Kyiv memaklumkan sekurang-kurangnya lima pesawat Rusia dan sebuah helikopter ditembak jatuh. – UTUSAN