PASIR GUDANG: Kerajaan sedang meneliti untuk meminda Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1996 (Akta 118) bagi membantu pembeli projek ‘perumahan sakit’ khususnya melibatkan pemaju swasta.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pindaan itu perlu kerana akta sedia ada tidak mencukupi untuk membela nasib pembeli yang berdepan masalah berkenaan selain memastikan masalah itu tidak berulang pada masa akan datang.
“Ketika saya mengambil alih kementerian ini, saya tubuhkan ‘war room’ untuk melihat secara lebih menyeluruh dan melihat penyelesaian holistik kepada masalah rumah terbengkalai melibatkan projek kerajaan dan swasta.
“Rumah terbengkalai membabitkan Akta 118 melibatkan kuasa Menteri untuk isytihar, tetapi itu sahaja tidak mencukupi sehubungan kita mempunyai perancangan untuk meminda akta berkenaan bagi mencari resolusi berhubung masalah tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Masai, di sini hari ini. Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad.
Tambah beliau, antara langkah pembaharuan yang boleh dilakukan adalah melalui kaedah bina dan jual iaitu menjual rumah apabila projek berkenaan sudah siap sepenuhnya, namun kaedah itu dipercayai tidak semua pemaju mampu melaksanakannya.
Sementara itu, berhubung PPR Masai yang telah terbengkalai sejak setahun lalu, kementerian komited untuk mencari penyelesaian segera bagi menyambung semula pembinaan tersebut selewat-lewatnya pada bulan Jun nanti.
“Projek ini melibatkan 330 unit rumah pangsa berkeluasan 700 kaki persegi yang mana tarikh asal sepatut siap adalah pada Februari tahun lalu, namun disebabkan beberapa masalah termasuk pandemik Covid-19 dan aliran tunai, ia telah tergendala. Namun kami komited untuk pastikan projek ini akan dapat disambung semula sama ada melalui kontraktor sama atau pertukaran kontraktor seawal Jun ini, dan sasaran siap dalam tempoh setahun,” jelasnya. – UTUSAN










