Kerajaan Persekutuan tubuh pasukan khas selia sempadan Sarawak - Utusan Malaysia

Kerajaan Persekutuan tubuh pasukan khas selia sempadan Sarawak

AWANG Tengah Ali Hassan mewakili Sarawak dalam mesyuarat JKSE pertama di bawah Majlis Khas MA63 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Satu pasukan petugas khas ditubuhkan bagi merancang dan menyelia pembangunan sempadan Sarawak-Kalimantan oleh Kerajaan Persekutuan, memandangkan ibu negara baharu Indonesia bakal dipindahkan di Kalimantan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan serta Menteri Kedua Pembangunan Bandar dan Sumber Asli berkata, Sarawak telah meminta pembiayaan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan lebih banyak jalan raya dan membina Kompleks Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sepanjang sempadan baharu itu.

“Selain itu, kita turut membentangkan cadangan untuk membangunkan sempadan kita, di mana kita meminta Kerajaan Persekutuan untuk pembiayaannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita turut berharap, melalui inisiatif ini Sarawak dapat dibangunkan dengan lebih banyak jalan raya untuk menghubungkan kawasan sempadan dan juga mendapatkan Kerajaan Persekutuan untuk membina lebih banyak CIQ demi menjaga sempadan kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perkara tersebut dibincangkan dalam satu mesyuarat pertama bagi tahun 2022 dalam Jawatankuasa Kerja Sosio-Ekonomi (JKSE) di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), di sini semalam.

Dari segi pembiayaan, Sarawak turut meminta lebih banyak peruntukan dalam lapan sektor iaitu Kedaifan, Infrastruktur, Utiliti, Penjagaan Kesihatan, Pendidikan, Pentadbiran dan Borneonisasi, Hal Ehwal Tanah dan Hal Kewangan.

Agensi Kerajaan Persekutuan telah menjawab beberapa permintaan ini sementara kebanyakan yang lain masih dalam pertimbangan.

Antara perkara lain ialah memastikan wakil Sarawak dilantik dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memastikan Sarawak boleh bersuara dalam membuat sebarang keputusan melibatkan kepentingan negeri ini. 

Sementara itu, Sarawak turut meminta Kerajaan Persekutuan mengkaji semula mekanisme pelaksanaan projek Persekutuan di Sarawak bagi mengelakkan kelewatan.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah & Sarawak), Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini