Kecuaian kakitangan di HRPZ II, punca kematian bayi dalam siasatan

Kecuaian kakitangan di HRPZ II, punca kematian bayi berusia dua bulan dalam siasatan

DR. NOOR Azmi Ghazali (kanan) memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada salah seorang murid yang hadir ke PICKids Pahang di SK Wira, Kuantan, Pahang baru-baru ini. - FOTO/DIANA SURYA ABD. WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kementerian Kesihatan masih menyiasat insiden membabitkan kecuaian kakitangan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu, Kelantan yang didakwa menyebabkan seorang bayi meninggal dunia, Jumaat lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, pihaknya belum dapat memastikan lagi faktor kecuaian yang didakwa menjadi antara punca kematian bayi tersebut.

“Seperti dinyatakan Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin sebelum ini, siasatan masih lagi dijalankan dan setakat ini kita tiada sebarang maklumat.

“Jadi kita tunggu maklum balas dari pihak pengurusan hospital, bila kita dapat maklumat dan keputusan (siasatan), kita akan nyatakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja, Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak Kebangsaan (PICKids) Pahang di Sekolah Kebangsaan (SK) Wira di sini hari ini. 

Yang hadir sama, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman.

Semalam, ibu bapa bayi lelaki yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di HRPZ II memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap hospital terbabit kerana didakwa cuai.

Bayi lelaki, Muhammad Hilman Firdaus Muhammad Hilmi berusia dua bulan disahkan meninggal dunia pukul 4.30 petang, Jumaat lalu selepas didakwa diberikan susu rosak dan diberikan ubat tidur tanpa kebenaran keluarga, selain dipaksa berpuasa lima hari.

Ibunya, Rosilawati Ismail, 26, dilaporkan sebagai berkata, keputusan tersebut dibuat demi mendapatkan pembelaan di atas kematian Muhammad Hilman Firdaus dan keluarganya sudah melantik peguam untuk mengendalikan kes itu.

Mengulas lanjut perkembangan PICKids yang dilancarkan 3 Februari lalu, Dr. Noor Azmi berkata, sebanyak 58 kes telah dilaporkan melalui MySejahtera yang mempunyai kesan sampingan selepas menerima suntikan. 

“Setakat ini, 57 kes membabitkan gejala ringan seperti demam, kemerahan dan sengal manakala satu kes lagi dikategorikan sebagai serius. Hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu mempunyai sejarah menghidap asma.

“Untuk makluman kanak-kanak itu kerap kali masuk hospital sebelum menerima vaksin tersebut. Rawatan sudah diberikan dan kanak-kanak berkenaan sudah pulih. Sehingga semalam, kira-kira 710,000 kanak-kanak yang layak sudah menerima suntikan vaksin dos pertama di pusat pemberian vaksin (PPV) disediakan,” katanya.

Sementara itu, menurut beliau lagi, negeri Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang mencatatkan jumlah penerima suntikan vaksin tertinggi, manakala Sabah, Terengganu dan Kelantan pula merekodkan jumlah terendah bilangan kanak-kanak menerima suntikan vaksin. 

“Antara sebab yang menunjukkan jumlah  masih rendah berpunca daripada sikap ibu bapa yang bersikap tunggu dan lihat. Hasil kaji selidik dilakukan mereka bimbang dengan kesan sampingan. Ibu bapa perlu mendapatkan maklumat tepat dan tidak terlalu mendengar atau mempercayai khabar angin.

“Mereka (ibu bapa) disarankan untuk dapatkan khidmat nasihat hanya daripada KKM dan pakar-pakar dalam bidang imunisasi ini supaya menerima maklumat yang betul serta tidak mengelirukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya