pindah keahlian

Keahlian Aminuddin berpindah ke Cabang Port Dickson

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat, Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun telah berpindah keahliannya ke cabang Port Dickson.

Menurut seorang sumber kepada beberapa pemberita semalam, perpindahan keanggotaan Aminuddin itu diputuskan pada akhir Januari lalu.

“Memang betul, keanggotaan Datuk Seri Aminuddin telah berpindah ke Cabang Port Dickson. Keputusan tersebut pada akhir Januari kerana mungkin ada pandangan yang berbeza-beza dalam parti, bagaimanapun, sama ada beliau akan bertanding (Ketua Cabang Port Dickson) tidak tentu lagi kerana masih dalam tempoh penamaan calon lagi.

“Jika ditanya kemungkinan (bertanding Ketua Cabang Port Dickson), saya rasa jika sudah berpindah ke Port Dickson itu, bacaan tersebut adalah betul,” katanya.

Aminuddin yang juga Menteri Besar adalah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat sejak 2008. Beliau juga merupakan Ketua Cabang Tampin sejak tahun 2018.

Ketua Cabang Port Dickson kini disandang oleh Timbalan Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk M. Ravi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung itu antara nama yang dikaitkan dalam penyebaran kenyataan pada September tahun lalu yang mencadangkan supaya jawatan Pengerusi MPN Keadilan Negeri Sembilan yang dipikul oleh Aminuddin digantikan dengan individu lain.

Setiausaha Agung Keadilan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum memaklumkan pemilihan parti itu bagi sesi 2022 hingga 2025 ditangguhkan ke tarikh baharu bermula 13 hingga 18 Mei ini.

Hari pencalonan bagi peringkat cabang ditetapkan pada 8 hingga 10 April depan manakala pencalonan untuk jawatan Majlis Pimpinan Pusat pada 11 April ini.

Aminuddin berasal dari Kampung Pachitan, Port Dickson juga antara yang disebut-sebut bakal bertanding di Parlimen Port Dickson dalam Pilihan Raya Umum (PRU-15) akan datang. 

Kerusi tersebut kini disandang oleh Presiden Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Datuk Seri Aminuddin memang orang Port Dickson, saya juga tidak pasti apakah arah untuk Datuk Seri Anwar, itu kedudukan ketika ini yang boleh saya sahkan,” kata sumber itu lagi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN