Jurutera perisian Malaysia cerita askar, polis Ukraine bercuti dikerah tugas - Utusan Malaysia

Jurutera perisian Malaysia cerita askar, polis Ukraine bercuti dikerah tugas

PASUKAN penyelamat menjalankan misi menyelamat di sebuah bangunan yang teruk dibedil peluru berpandu Rusia di Koshytsa Street, pinggir Kyiv, Ukraine. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang warga Malaysia yang menetap di Ukraine menceritakan semua anggota pasukan keselamatan negara itu yang bercuti telah dikerah bertugas serta bersiap siaga.

Lelaki berusia 29 tahun itu yang menetap di Odessa, memaklumkan polis juga sudah meningkatkan rondaan dan kawalan ketat di pelbagai fasiliti penting negara tersebut.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Karuna Skj dan berasal dari Nilai, Negeri Sembilan sudah menetap di Ukraine lebih lima tahun lalu bersama-sama dengan teman wanitanya.

Kelmarin, Presiden Rusia, Vladimir Putin mengisytiharkan operasi ketenteraan berskala penuh dan mengarahkan pencerobohan askarnya ke atas negara jiran itu.

Mereka turut melancarkan serangan peluru berpandu dan roket termasuk dari pesawat tempur sehingga membunuh anggota tentera Ukraine dan orang awam di beberapa buah bandar.

Karuna yang bertugas sebagai jurutera perisian serta fasih berbahasa Rusia turut mengikuti perkembangan semasa yang dilaporkan melalui agensi media Ukraine dan Rusia.

“Kami cuba mengelak membaca berita yang disiarkan oleh sumber media Barat kerana tidak begitu yakin dengan laporan mereka dan mungkin ada bersifat berat sebelah,” jelasnya yang dipetik menerusi hantaran dalam media sosial.

Pada masa sama, beliau belum berhasrat meninggalkan negara itu meskipun Wisma Putra semalam mengesahkan seramai 11 warga Malaysia di negara Eropah itu akan dibawa keluar.

Dalam waktu terdekat, beliau dan pasangannya akan kekal berada di rumah yang terletak 30 kilometer dari sempadan negara jirannya, Moldova.

“Kami berharap tidak akan sampai ke peringkat pemindahan, namun kami ada pelan kecemasan tersendiri sekiranya perkembangan semakin buruk nanti,” jelas Karuna.

Beliau berpendapat, tiada keperluan untuk panik dan berhijrah ke negara jiran meskipun undang-undang tentera telah dikuatkuasakan.

Ini susulan arahan penutupan kesemua 16 lapangan terbang antarabangsa dan ruang angkasa di Ukraine untuk penerbangan awam bagi memastikan keselamatan pesawat komersial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya