Jururawat  kurang - KJ

Jururawat  kurang – KJ

KHAIRY Jamaluddin  (kanan) ketika melawat Kompleks MRI serta Projek Naik Taraf  Bekalan Gas Perubatan (PKKN) Hospital Sungai Buloh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam mengakui Malaysia berdepan kekurangan kakitangan perubatan terutama jururawat.

Beliau berkata, maklumat tersebut diterima menerusi maklum balas semasa mengadakan lawatan kerja ke beberapa buah hospital  dan dialog dengan kumpulan dalam sektor berkenaan sebelum ini.

Justeru, katanya, Kementerian Kesihatan sedang mengenal pasti secara menyeluruh jumlah dan keperluan untuk memenuhi  sektor terbabit  dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Saya telah mengadakan dialog bersama kumpulan pelaksana dan mereka beritahu benda yang sama (kekurangan jururawat).

“Mungkin selepas selesai isu doktor kontrak ini saya akan beri tumpuan kepada kumpulan pelaksana pula,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, beliau akan berusaha  mendapatkan peruntukan perbelanjaan yang lebih bagi meningkatkan sektor kesihatan pada masa akan datang. 

“Perbelanjaan kesihatan awam kita dua peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau empat peratus daripada jumlah keseluruhan.Satu swasta dan satu daripada rakyat kita sendiri.

“Walaupun kita ada kemudahan kesihatan bertaraf dunia, tapi kita ada banyak kekurangan. Paling penting kita perlukan lebih banyak pelaburan dalam kesihatan awam,” katanya.

Terdahulu, Khairy menyempurnakan Majlis Perasmian dan Lawatan Kompleks MRI serta Projek Naik Taraf Bekalan Gas Perubatan (PKKN) Hospital Sungai Buloh.

Projek MRI tersebut menelan belanja sebanyak RM7.5 juta melibatkan naik taraf peralatan dan sistem terkini bagi menggantikan peralatan lama yang telah berusia 17 tahun. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN