PETALING JAYA: Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim dipilih sebagai Presiden Persatuan Golf Junior Malaysia (MGJA) yang pertama untuk tiga tahun bagi sesi 2022-2025.
Keputusan pelantikan itu dibuat oleh seluruh perwakilan menerusi mesyuarat agung yang julung kalinya diadakan pada 21 Februari 2022 di ibu negara.
Menurut MGJA, banyak idea dan gerak kerja dalam memastikan persatuan tersebut berjalan lancar adalah menerusi dorongan presidennya sendiri.
“Anak muda harus melihat sukan golf sebagai cabaran yang boleh membawa mereka hingga ke tahap professional. Disamping itu ia juga sebagai satu kerjaya professional di Malaysia dan menerusi platform latihan yang disediakan, didorong pula minat dan bakat.
“MGJA bakal memberikan peluang yang besar kepada golongan muda. Terutamanya di peringkat sekolah dan institusi pendidikan tinggi Malaysia. Ini dalam melebarkan ruang ekonomi baru Malaysia melalui sukan golf ini,” katanya dalam kenyataan.
MGJA yang ditubuhkan pada 14 Februari lalu sangat menekankan objektif penubuhannya, antaranya ialah mempromosikan sukan golf kepada anak muda dan mencungkil serta mengasah bakat mereka hingga ke peringkat antarabangsa melalui kerjasama latihan dengan institusi pengajian awam serta swasta.UTUSAN