Ibu rindu abah, abang - Anak Harussani - Utusan Malaysia

Ibu rindu abah, abang – Anak Harussani

AHLI keluarga yang hadir pada pengebumian jenazah Allahyarham Ainon Abdul Ghani di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kematian suami dan anak lelaki sulung dalam tempoh tiga bulan memberi kesan cukup mendalam kepada balu Tan Sri Harussani Zakaria, Allahyarham Puan Seri Ainon Abdul Ghani yang meninggal dunia semalam.

Anak bongsu Allahyarham, Datuk Ahmad Wafi, 45, memberitahu, meskipun ibunya tidak pernah menyuarakan perasaannya, namun dia dan dua kakaknya cukup memahami apa yang ditanggung wanita itu.

“Ibu bukan seorang yang suka mengadu, tapi kami dapat lihat dia dalam keadaan kesunyian. Banyak kali dia cakap nampak abah di luar rumah, abah baru masuk (rumah) dan juga bertanya abah sudah siapkah?

“Dari situ kami tahu dia rindu dan sangat-sangat teringat kepada arwah abah, begitu juga dengan abang sulung. Saya rasa semua yang bergelar ibu faham betapa rapatnya anak sulung dengan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengebumian jenazah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Wafi, kesihatan ibunya juga merosot selepas kematian bapa dan abangnya meskipun sebelum ini semakin pulih daripada derita kanser paru-paru tahap empat.

Katanya, arwah ibu yang merupakan seorang yang kuat semangat semasa menentang kanser mungkin kehilangan semangat itu selepas kematian dua insan tersayang.

“Dia tidak mengadu, tapi kita tahu dari cara bercakap dan suara, dia sangat rindu. Mungkin itu sebab semangatnya kurang, kehilangan yang tidak boleh diluahkan melalui perkataan. Sejak dua bulan lalu keadaan kesihatan arwah juga merosot, dia hanya terlantar dan tidak boleh telan makanan sebaliknya hanya salurkan makanan melalui saluran tiub.

“Malah dua hari lepas arwah demam dengan tekanan darah dan paras oksigen menurun sebelum kami bawa ke hospital namun menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 2.50 petang,” katanya.

Tambah beliau, meskipun sedih dengan kematian bapa, ibu dan abang dalam tempoh kurang setahun, dia dan adik-beradik lain berasa lega kerana penderitaan mereka akhirnya tamat.

“Tanyalah pada sesiapa pun, pasti akan sedih tetapi kami yakin perancangan Allah itu lebih hebat. Kami sudah lihat macam mana mereka menderita dan merana dari segi kesihatan. Itu bapa dan ibu kami, yang melahirkan kami semua. Kami anggap ini takdir Tuhan dan ia adalah lebih baik daripada terseksa,” katanya.

Jenazah Puan Sri Ainon Abdul Ghani, 82, selamat dikebumikan bersebelahan pusara suaminya pada pukul 11.25 pagi.

Jenazah sebelum itu disembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Melayu Sungai Rapat pada pukul 10.30 pagi dengan diimamkan Ahmad Wafi.

Pada 30 Mei tahun lalu, Harussani, 82, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kerana Covid-19 yang ketika itu turut menjangkiti isterinya.

Selain Harussani dan isteri, kira-kira 10 ahli keluarga lain termasuk jururawat peribadi turut dijangkiti virus berkenaan.

Pasangan berkenaan mempunyai lima anak iaitu tiga lelaki dan dua perempuan namun dua anak mereka iaitu Abdul Hakam, 24, meninggal dunia pada 1994 setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika menuntut di Mesir.

Anak sulung pasangan itu, A. Abdul Hakim Mazhar, 54, pula meninggal dunia di HRPB pada 16 Ogos tahun lalu setelah positif Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN