Hawa Rizwana panik lihat Roslan Shah rebah depan mata - Utusan Malaysia

Hawa Rizwana panik lihat Roslan Shah rebah depan mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengacara program Wanita Hari Ini (WHI), Hawa Rizwana mengakui panik dan terkejut selepas menyaksikan sendiri bagaimana penyanyi dan pengacara, Roslan Shah rebah dan pengsan ketika menjadi tetamu program berkenaan petang tadi.

Kata Hawa, dia dan rakan penyampai Fatin Hamimah bagaimanapun ketika itu perlu bersedia untuk mengendalikan segmen seterusnya meskipun keadaan dalam studio ketika itu bertukar cemas.

“Memang sangat terkejut. Keadaan jadi kelam kabut. Kru produksi segera menghubungi doktor untuk memeriksa keadaannya yang ketika itu dibaringkan.

“Seingat saya Roslan pada masa itu berada dalam keadaan tak berapa nak sedarkan diri. Saya tak dapat nak fokus dengan apa yang terjadi kerana berlaku pantas dan kami sebagai hos pula diarahkan untuk bersedia bagi mengedalikan segmen seterusnya,” kongsinya.

Disoal tentang keadaan Roslan ketika diwawancara, Hawa memberitahu penyanyi kelahiran Singapura itu bersemangat dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda mencurigakan.

“Ketika diwawancara, keadaannya okey. Dia bersemangat. Topik pun santai. Ketika itu, perbualan hampir tamat. Memang kami sudah bersiap-siap untuk memberi laluan bagi pesanan penaja.

“Tetapi, secara tiba-tiba dia terjatuh. Saya dan pasangan hos, Fatin panik sebab situasi seperti itu belum pernah berlaku kepada kami.

“Kami diarahkan untuk bertenang dan bersedia untuk mengendalikan pula segmen tajaan yang menampilkan dua tetamu lain,” katanya.

Dalam pada itu Hawa berkata tidak banyak yang boleh dikongsikan buat masa ini memandangkan pihak Media Prima bakal mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan.

Roslan Shah mengejutkan ramai pihak selepas tiba-tiba pengsan ketika bersiaran secara langsung dalam WHI sebentar tadi.

Hasil pemeriksaan doktor mendapati bacaan tekanan darah penyanyi itu berada pada tahap membimbangkan.

Dia bagaimanapun telah dikejarkan ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya