ALOR SETAR: Hanya satu kes kesan buruk susulan imunisasi (AEFI) dilaporkan daripada sejumlah 36,000 kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin Covid-19 pertama melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICkids) di negeri ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Othman Warijo berkata, kes itu melibatkan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang memiliki sejarah penyakit asma.
“Kanak-kanak perempuan itu menerima suntikan vaksin di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan diserang asma selepas disuntik. Dia kemudiannya dirawat di HSB selama lima hari dan kini sudah pulih sepenuhnya.
“Hingga sekarang, itulah satu-satunya kes AEFI serius melibatkan 36,000 kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun yang sudah menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 di Kedah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Data dikeluarkan portal Covid Now yang dikelolakan Kementerian Kesihatan menunjukkan seramai 6,200 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah telah disahkan positif Covid-19 di Kedah antara 1 Februari lalu hingga semalam.
Daripada 24 kluster yang diisytiharkan di negeri ini sejak awal bulan lalu, 21 daripadanya merupakan kluster pendidikan.
Dalam pada itu Othman terus menggalakkan kalangan ibu bapa supaya segera mendaftarkan anak masing-masing untuk mendapatkan vaksinasi segera sebagai usaha untuk mengelakkan mereka komplikasi serius sekiranya dijangkiti Covid-19.
Katanya, antara Julai hingga Disember 2021, seramai 270,00 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dijangkiti Covid-19 di negara ini.
“Daripada jumlah itu, 63 kes kematian dicatatkan dalam kalangan kanak-kanak dan 174 kes Multi-System Inflammatory Syndrome Covid-19 (MIS-C) dilaporkan di negara ini.
“Kita juga bimbang dengan kesan jangka panjang selepas dijangkiti Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak sekiranya mereka tidak divaksin,” katanya. –UTUSAN










