KUANTAN: Penganjuran Festival Kraf Tekstil Pantai Timur ( FKTPT ) 2022 yang dilaksanakan secara fizikal dapat membantu usahawan dan komuniti kraf meningkatkan pengeluaran dan memperluaskan pasaran produk mereka.
Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Aididah Ibrahim berkata, walaupun pintu sempadan masih belum dibuka, pasaran dan promosi produk kraf perlu terus diperhebatkan terutamanya kepada pengguna dalam negara.

“Melalui usaha ini dapat menyahut Kempen Beli Barangan Malaysia dan secara tidak langsung membantu mengukuhkan ekonomi domestik.
“Sebagai peneraju industri kraf negara, Kraftangan Malaysia akan terus berusaha dalam melaksanakan pelbagai program dan aktiviti serta mengangkat kraf sebagai salah satu cabang perusahaan atau bidang kerjaya yang boleh diceburi untuk menjana pendapatan.
“Justeru, semua usahawan kraf digalakkan untuk terus berusaha dan bersama-sama memastikan industri kraf terus relevan serta menjadikan warisan seni budaya ini terus kekal di persada dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian FKTPT 2022 yang diadakan di East Coast Mall di sini kelmarin.
Aididah dalam pada itu berkata, sambutan Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2022 kali ke-19 dijadualkan pada 23 Februari hingga 7 Mac depan akan diadakan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.
“Lebih 300 orang usahawan dan komuniti kraf akan menyertai sambutan HKK 2022 kali ini,” katanya. – UTUSAN