Enam ditahan kes tipu urusan jual beli telefon - Utusan Malaysia

Enam ditahan kes tipu urusan jual beli telefon

AIBEE Ab. Ghani menunjukkan gambar enam individu yang ditahan berkaitan penipuan urusan jual beli telefon bimbit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Enam individu termasuk tiga wanita ditahan polis selepas mereka disyaki terlibat dalam kes penipuan urusan jual beli telefon bimbit.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani, tangkapan tersebut hasil beberapa serbuan yang dijalankan di Shah Alam, Selangor oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Ia susulan satu laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita pada 20 Februari lalu berkenaan penipuan pembelian satu unit telefon jenis iPhone.

“Pada 17 Februari lalu pengadu telah berjumpa dengan seorang lelaki di Terminal One, Seremban yang mahu membeli set telefon bimbit milik pengadu dengan harga RM3,300. Lelaki tersebut membayar dengan membuat transaksi dalam talian dari akaun bank miliknya ke akaun bank milik pengadu dan telah menunjukkan bukti pembayaran.

“Selepas itu pengadu menyerahkan telefon bimbit jenis iPhone 13 berkenaan kepada lelaki tersebut namun selepas membuat semakan terhadap akaun bank miliknya, pengadu mendapati tiada kemasukan jumlah wang berkenaan. Sehingga ke hari ini pengadu masih tidak memperoleh kemasukan wang tersebut. Pengadu telah cuba menghubungi lelaki tersebut namun tidak berjawab dan pengadu mengesyaki telah ditipu dan mengalami kerugian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Aibee, pada hari yang sama, beberapa serbuan dibuat di Shah Alam, Selangor dan berjaya menangkap kesemua suspek yang berusia antara 20 hingga 44 tahun dipercayai terlibat dalam kes penipuan tersebut.

“Pihak polis juga merampas sebuah kereta, 10 unit telefon bimbit, 10 unit kad sim pelbagai nombor, tujuh unit kad ATM pelbagai bank, tiga helai baju dan tiga helai seluar yang dipercayai telah dipakai oleh suspek semasa kejadian. Hasil siasatan yang dijalankan, suspek mengaku mula menjalankan penipuan ini pada 2017 dan semakin aktif pada 2020 sehingga sekarang. Tangkapan juga mengaku telah menipu tidak kurang daripada 50 orang individu dengan telefon bimbit yang diperoleh kemudiannya akan dijual kepada individu lain yang turut ditangkap.  

“Setakat ini pihak polis mengenal pasti sebanyak 20 laporan polis melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM60,000 yang menggunakan modus operandi sama. Sebanyak 11 kes disiasat di Negeri Sembilan manakala sembilan kes lain melibatkan negeri-negeri lain,” katanya.

Tambah beliau, kesemua tangkapan masih lagi di dalam tahanan reman dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan bagi cadangan menuduh kesemua suspek terlibat.

“Pihak polis juga meminta mangsa yang pernah ditipu oleh suspek supaya tampil ke mana-mana balai polis bagi membuat laporan polis. Orang ramai juga di nasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika berurusan jual beli sama ada secara dalam talian ataupun bersemuka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN