PETALING JAYA: Lanjutan tempoh status lengkap vaksinasi dos penggalak sehingga hujung bulan depan adalah peluang kepada kira-kira 2.7 juta penerima vaksin premier Sinovac yang belum mengambil suntikan tambahan itu berbuat demikian.
Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, peluang itu perlu dimanfaatkan masyarakat dengan mengambil dos penggalak bagi melindungi diri dan orang sekeliling daripada jangkitan wabak serta mengelakkan peningkatan kes kategori bahaya.
Katanya, kira-kira 2.7 juta penerima vaksin premier Sinovac belum tampil mengambil dos penggalak kerana terdapat perasaan ragu-ragu dan takut dengan kesan sampingan suntikan itu.
“Jika kita lihat pada CovidNow, sudah capai 61 peratus yang mengambil dos penggalak dan ia menunjukkan perkembangan positif. Dengan harapan apabila makin ramai masyarakat mengambil suntikan tersebut, semakin kurang kes-kes teruk melibatkan kematian,” katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan lanjutan tempoh status lengkap vaksinasi dos penggalak Covid-19 sehingga 31 Mac bagi memberi peluang kepada mereka yang belum mengambil dos penggalak untuk berbuat demikian.
Sementara itu, Pakar Epidemiologi dan Biostatistik, Prof. Dr. Jamalludin Ab Rahman berkata, pengambilan dos penggalak adalah satu langkah yang perlu dilaksanakan bagi mengurangkan kesan buruk Covid-19.
“Bagi mereka yang menerima vaksin Sinovac, dos tambahan diperlukan kerana data menunjukkan keberkesanan dua dos sebelum ini tidak mencukupi lagi untuk melindungi mereka, terutama mereka yang berumur 60 tahun ke atas,” katanya.- UTUSAN











