PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima 19 laporan berkaitan kes penipuan pembelian saham membabitkan sebuah syarikat milik Datuk Seri bernilai mencecah RM3 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, pihaknya kini telah pun mengenal pasti suspek utama dan individu lain yang terlibat.
Kata beliau, usaha mengesan dan menahan mereka sedang dijalankan.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Kamarudin, berdasarkan siasatan, skim pelaburan kni menawarkan pembelian saham syarikat didakwa patuh syariah.
Jelasnya, pelabur dijanjikan faedah sebanyak empat peratus setiap bulan dan wang pelaburan pokok dipulangkan setelah kontrak pelaburan tamat.
“Bagaimanapun, faedah tersebut hanya dibayar pada peringkat awal pelaburan sebelum pihak syarikat menghilangkan diri,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kamarudin mengingatkan, dalam usaha membanteras penipuan pelaburan, orang ramai mesti memberi perhatian dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan lumayam.
“Dapatkan maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti alert list Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan,” katanya.
Terdahulu, lebih 400 individu didakwa kerugian RM54 juta akibat ditipu skim pembelian saham membabitkan sebuah syarikat milik pasangan bergelar Datuk Seri dan Datin Seri yang juga bekas kakitangan sebuah syarikat penyiaran swasta.
Difahamkan, Datuk Seri berkenaan dikatakan bekas pengurus pemasaran kanan dan isterinya pula bekas wartawan penyiaran yang menyasarkan golongan profesional, doktor, polis dan pesara sebagai mangsa. – UTUSAN