DAP yakin PKR, Muda capai kata sepakat - Utusan Malaysia

DAP yakin PKR, Muda capai kata sepakat

LIM Guan Eng (tengah) pada sidang akhbar bersama kepimpinan DAP Johor di Kulai, Johor. - UTUSAN/KHAIRUL MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yakin perselisihan antara rakan parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan dapat diselesaikan secara baik.

Menurut Guan Eng, khabar angin kemungkinan berlaku pertembungan antara kedua-dua parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sama hanyalah satu andaian.

“(Pertembungan kerusi) Itu hanya andaian sahaja, sebaliknya saya suka buat andaian positif iaitu tidak akan berlaku pertembungan kerusi antara PKR dan Muda. Saya yakin mereka akan berjaya capai kata sepakat untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini sebagaimana DAP dan juga Parti Amanah Negara (Amanah). Sekarang masih belum ada keputusan jadi tidak guna buat andaian negatif, jadi isu berkenaan tidak sepatutnya timbul, jadi kita tunggu dan lihat,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat DAP Johor, di sini hari ini.

Semalam, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu perbincangan bersama PKR telah menemui kegagalan apabila PKR bertindak mengumumkan calon di kesemua 20 kerusi DUN yang diperintah kepada mereka.

Sementara itu, Guan Eng turut memberitahu pihaknya tidak mempunyai masalah dengan keputusan dibuat Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk turut bertanding dalam PRN Johor.

Dalam pada itu, DAP hari ini mengumumkan dua lagi calon mereka bagi kerusi DUN Bentayan dan Pekan Nanas yang menyaksikan Ng Yak Howe dan Yeo Tung Siong dikekalkan. Terdahulu, dalam satu program berasingan di Segamat, Guan Eng turut mengumumkan calon parti itu bagi kerusi DUN Bekok iaitu M. Kanan.

Beliau turut berterima kasih kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Tan Hong Pin dan bekas ADUN Perling, Cheo Yew How yang tidak dicalonkan DAP kali ini.

Sementara itu, Guan Eng masih berteka-teki berhubung pencalonan Pengerusi DAP negeri,  Liew Chin Tong kerana belum ada kata putus berkenaan perkara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya