PETALING JAYA: DAP menggesa dakwaan ke atas pereka grafik dan aktivis masyarakat, Fahmi Reza ditarik balik bagi menunjukkan kebebasan internet di negara ini daripada campur tangan kerajaan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang tidak dipilih rakyat begitu rapuh dan merasa terancam sehingga kekuatan dan kuasa jentera kerajaan sepenuhnya digerakkan berkali-kali menentang pelukis grafik itu.
Katanya, menteri dan parti politik yang memerintah harus menggunakan kuasa mereka untuk melindungi orang awam dan tidak bergantung kepada kuasa kerajaan untuk melindungi diri mereka daripada kritikan awam.
“Jelas sekali ruang awam untuk kritikan dan kebebasan bersuara dengan perlahan akan hilang di bawah rejim ekstremis yang tidak mempedulikan demokrasi dan bahaya rasuah.
“Semasa Pakatan Harapan (PH) mentadbir Putrajaya, tiada siapa yang didakwa di bawah undang-undang siber kerana mengkritik Perdana Menteri, Menteri atau parti politik tidak kira betapa palsu dan tidak adilnya kritikan itu, termasuk serangan berbaur perkauman dan ekstremis yang tidak berasas.
“Walaupun terdapat ancaman siber terhadap keselamatan peribadi menteri PH dibuat, tiada tindakan yang diambil daripada pihak berkuasa.
“DAP menggesa dakwaan ini ditarik balik untuk menunjukkan bahawa Malaysia menghormati kebebasan internet daripada campur tangan kerajaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai tuduhan ke atas Fahmi berikutan menggunakan akaun Twitternya secara tidak wajar dengan membuat ciapan yang didakwa menghina terhadap seorang menteri awal bulan ini.
Fahmi juga didakwa atas tuduhan memuat naik hantaran dipercayai menghina Pas di Facebook dengan mengaitkan parti itu dengan gambar minuman bir. –UTUSAN











