PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akibat peningkatan jangkitan Covid-19 melibatkan tiga skim tanah rancangan di Daerah Raub, Pahang diteruskan sehingga 28 Februari depan.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, ia melibatkan Felda Tersang 1, 2 dan 3 dalam Mukim Batu Talam yang sepatutnya tamat hari ini.
Pelanjutan PKPD di tiga lokaliti berjiran yang dihuni lebih 3,000 orang penduduk itu susulan trend semasa penularan kes wabak Covid-19 hasil penilaian risiko Kementerian Kesihatan.
Ia juga susulan lonjakan pesakit positif baharu dalam kalangan peneroka berkenaan yang mencetuskan Kluster Amalina Perdana Tersang Tiga dengan setakat ini merekodkan 39 kes.
Kluster komuniti itu diumumkan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang pada 30 Januari lalu yang bermula dengan cuma 10 kes sebelum bertambah hasil 525 ujian saringan kontak rapat.
Skim tanah di situ yang dibuka sekitar 1960-an lalu, pernah dikenakan PKPD buat julung kali pada 28 Mei tahun lepas sebelum tempoh sekatan itu dilanjutkan sehingga 24 Jun 2021.
Lokaliti estet pertanian komoditi kelapa sawit yang terletak 42 kilometer dari bandar Raub itu sekali lagi dilaksanakan PKPD pada 2 Februari lalu disebabkan jangkitan dalam komuniti.- UTUSAN