GEORGETOWN: Penang Black Panthers optimis mampu mengejutkan pasukan Putrajaya Cyborg pada minggu keenam aksi pusingan kedua Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) di Kompleks Sukan Panji, Kota Bharu, Kelantan esok.
Buat julung kalinya, lapan pemain skuad Harimau Kumbang termasuk pemain import dari Thailand, Aakasit Naphon digandingkan bagi mengubat duka enam kekalahan lalu.
Pengurus pasukan, Mohamad Azlee Ahmad Mahiudin berkata, banyak persiapan dilakukan dan dirancang menjelang aksi bertemu pasukan yang menduduki tangga ketiga Carta STL itu termasuk membuat analisa berdasarkan pertemuan lepas.
Menurutnya, pemain terdiri barisan muda tempatan kini sudah menyatakan komitmen untuk beraksi lebih cemerlang menentang Putrajaya Cyborg buat kali kedua meskipun berdepan kekalahan pada aksi terakhir minggu ketiga.
“Pasukan kami optimis untuk menumbangkan pihak lawan esok dan Aaekasit juga menyatakan kesediannya beraksi bersama rakan pasukannya. Kami dapat melihat semangat juang yang dipamerkan semua barisan pemain kini.
“Harapan kami mereka dapat melakukan yang terbaik kerana kita memerlukan kemenangan dalam dua perlawanan termasuk bertemu pasukan Kelantan Warriors nanti. Sasaran kami adalah berada di kedudukan keempat teratas liga sekali gus layak beraksi di Champion Cup nanti,” katanya ketika dihubungi di sini.
Ketika ini, pasukan kendalian jurulatih Mohamad Fazil Mohd. Asri dan Ahmad Sufian Napiah itu mengumpul 12 mata daripada enam kemenangan untuk menghuni kedudukan kelima dalam carta STL.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pertukaran lokasi perlawanan tidak menimbulkan kegusaran mahupun ketidakselesaan dalam kalangan pemain.
“Ini kerana pemain sedia ada kini sudahpun diserap dengan pelbagai tekanan termasuk didedahkan dengan perlawanan liga tempatan sebelum ini. Berubah gelanggang tidak menjadi masalah buat mereka,” katanya yang menambah, tiga ‘ubi muda’ pasukan itu kini dalam senarai pemilihan ke Sukan SEA dan Sukan Asia yang berlangsung tahun ini. – UTUSAN