PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan disaran memberi kuasa kepada guru besar untuk menentukan sama ada sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) perlu dilaksanakan bagi menggantikan kaedah bersemuka ekoran peningkatan kes Covid-19.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Wang Heng Suan berkata, guru besar perlu diberi kuasa untuk memohon kepada pihak berkaitan sekiranya kawasan atau sekolah mereka itu dirasakan sebagai kawasan berisiko.
Katanya, meskipun sekolah terlibat tidak semestinya berisiko tinggi yang perlu dilaksanakan PdPR, guru besar lebih memahami keadaan dan langkah yang perlu diambil oleh sesebuah sekolah mereka itu.
“Mahu melaksanakan PdPR kena lihat kepada kawasan itu, maka lebih baik kita beri autoriti kepada guru besar untuk memohon untuk sekolahnya melaksanakan PdPR.
“Jadi apabila sekolah itu berada di tempat yang selamat, maka boleh belajar bersemuka seperti biasa, tetapi apabila di kawasan berisiko, kita mohon beri sikit kuasa kepada guru besar untuk tentukan.
“Alasan kita mudah kerana semua tempat berbeza kecuali semua tempat itu kadar jangkitan wabaknya tinggi, maka terpaksa buat perancangan lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kewajaran melaksanakan semula sesi PdPR buat murid sekolah rendah susulan peningkatan Covid-19.
Kementerian Pendidikan (pada 5 Februari lalu hanya menetapkan pelajar daripada bukan kelas peperiksaan yang pulang bercuti sempena perayaan Tahun Baharu Cina, tidak dibenarkan pulang ke asrama sebaliknya melaksanakan PdPR.
Keputusan itu bagi memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berada dalam keadaan terlindung daripada jangkitan Covid-19.
Mengulas lanjut, Heng Suan berkata, pemberian kuasa kepada guru besar itu adalah lebih baik berbanding menetapkan semua sekolah dilaksanakan sesi PdPR.
Katanya, ini berikutan penutupan sekolah dan melaksanakan PdPR kepada murid-murid terutamanya sekolah rendah bukan lagi satu keputusan yang bagus sekiranya kawasan sekolah itu tidak berisiko.
“Sekarang bukan senang untuk pulihkan semula murid (minat) belajar apabila mereka seperti tidak mahu belajar selepas kita kurung mereka terlalu lama.
“Ini kerana walaupun keadaan kurang selamat melainkan kawasan yang berisiko tinggi, kita terpaksa hidup dengan wabak ini dan yang penting untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP),” jelasnya.
Sementara itu, Presiden Ikatan Guru Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, ibu bapa perlu maklumkan kesihatan anak mereka di dalam kumpulan perbualan seperti aplikasi WhatsApp bagi memudahkan pencegahan.
Menurut beliau, kerjasama ibu bapa amat diperlukan bagi memastikan pelajar berada dalam keadaan selamat dan terhindar daripada dijangkiti wabak serta tidak mengganggu proses pendidikan akibat daripada penularan di dalam kawasan sekolah.
“Jika ada gejala, bawa anak mereka untuk menjalani ujian kendiri atau di klinik bagi mengesahkan pelajar tidak dijangkiti Covid-19 dan kemudian maklumkan kepada pihak sekolah untuk tindakan susulan serta persiapan.
“Jika pelajar adalah kontak rapat terus lakukan kuarantin, ikut setiap SOP ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan bukan hanya berharap kepada guru-guru untuk memastikan anak mereka terhindar dari pada jangkitan,” katanya.
Terdahulu, akhbar melaporkan, Kementerian Pendidikan belum memutuskan untuk mengeluarkan SOP baharu bagi operasi sekolah susulan peningkatan kluster institusi pendidikan di negara ini.
Kementerian Kesihatan turut mengesan sebanyak 107 kluster Covid-19 dalam kategori pendidikan yang melibatkan 4,633 kes sejak bermula sesi persekolahan dan ia terjadi disebabkan ketidapatuhan SOP serta arahan diberi.
Naib Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5PM), Datuk Sabri Arshad berpendapat, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu membantu pihak pentadbir menguatkuasakan SOP.
“Pelaksanaan SOP di sekolah keseluruhan mengikut standard yang ditetapkan pekeliling perkhidmatan Kementerian Pendidikan. Walau bagaimanapun, ada isu timbul mengenai penguatkuasaan oleh pentadbir mengikut sekolah dan kategori sekolah.
“Perkara yang sering merisaukan ibu bapa ialah pelajar yang belajar di sekolah harian biasa dan berulang-alik ke sekolah. Mereka terdedah kepada jangkitan Covid-19 yang meluas. Jadi kami harap pelbagai pihak dapat membantu pihak pentabir menjauhkan pelajar daripada jangkitan wabak,” jelasnya. – UTUSAN