Bekas timbalan pengarah Jabatan Air Negeri Sabah bebas 146 pertuduhan

Bekas timbalan pengarah Jabatan Air Negeri Sabah bebas 146 pertuduhan

TEO Chee Kong (kiri) diringi peguamnya, Ram Singh selepas dikenakan DNAA di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Teo Chee Kong dibebas tanpa dilepaskan (DNAA) bagi 146 pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Khas Rasuah hari ini.

Tertuduh turut dikenakan bayaran kompaun RM30 juta oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Keputusan mengenakan DNAA terhadap tertuduh dibuat dihadapan Hakim, Abu Bakar Manat.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Faridz Gohim Abdullah berkata, pihaknya tidak meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh setelah mengambil pertimbangan surat-surat yang dihantar oleh peguam mewakilinya, iaitu Ram Singh.

FARIDZ Gohim Abdullah (dua kiri) semasa sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini.

Justeru, SPRM mengenakan kompaun RM30 juta mengikut Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Beliau berkata, tindakan kompaun itu merupakan satu bentuk pemulangan aset di bawah akta berkenaan. Ia juga salah satu strategi pihak pendakwaan dalam mengukuhkan keterangan dalam kes membabitkan JANS.

“Pembayaran kompaun dengan jumlah yang besar ini merupakan satu kejayaan dalam bentuk pemulangan aset oleh pihak pendakwaan.

“Tindakan kompaun ini bagaimanapun tidak menghentikan atau menjejaskan pertuduhan terhadap tiga lagi orang kena tuduh (OKT) lain yang masih dalam proses perbicaraan,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini.

Menurut Faridz, kompaun kesalahan terhadap OKT bukan satu perkara baharu atau asing di negara ini kerana sudah terdapat beberapa kes yang mengambil tindakan sebegini.

Jelas beliau, kompaun RM30 juta itu hendaklah dibayar dalam tempoh 14 hari dari sekarang. Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Mahadi Abdul Jumaat.

Pada 13 Disember 2017, Chee Kong mengaku tidak bersalah terhadap 146 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM32 juta yang didakwa diterima secara rasuah melalui projek-projek di JANS sejak 2010 hingga 2016.

Pada 4 Oktober 2016, SPRM membongkar skandal rasuah jabatan air yang membabitkan rampasan wang tunai dan aset-aset lain yang berjumlah kira-kira RM180 juta.

Chee Kong bersama bekas Pengarah JANS, Awang Mohd Tahir Mohd Talib ditahan pada tarikh berkenaan selepas SPRM menemukan wang berjumlah RM52 juta di pejabat dan kediaman kedua-dua tertuduh. UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya