PONTIAN: Seorang bekas pendidik dijangka mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini
Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Pontian, Mohd. Kasir Zainon berkata, calon tersebut yang merupakan anak tempatan dicadang berdasarkan beberapa kriteria yang mampu menandingi pihak lawan.
Katanya, walaupun dijangka menghadapi Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang akan mempertahankan DUN Benut, ia bukan halangan untuk Bersatu menentang pemimpin nombor satu Johor itu.
“Ya, kita menyedari cabaran yang akan dihadapi oleh calon Bersatu di DUN Benut kerana akan menentang Menteri Besar Johor di samping calon daripada PKR, tetapi, tidak menjadi masalah untuk kita meletakkan calon,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Bagaimanapun, Mohd. Kasir tidak mahu mendedahkan nama individu tersebut dan meminta menunggu majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) yang akan dilakukan dalam masa terdekat.
Selain Hasni, turut disebut-sebut akan bersaing kelak di kerusi Benut ialah adik kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari iaitu Aziz yang juga merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pontian.
Kerusi Benut mula disandang Hasni pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada tahun 2008 dengan menewaskan calon Pas, Sarobo Ponoh dengan majoriti undi 6,302 undi.
Pada tahun 2013, Hasni menentang calon yang sama dan memperoleh majoriti 6,572 undi, sementara pada 2018, beliau menewaskan calon Bersatu, Zulkifly Tasrif dan calon Pas, Mohd. Firdaus Jaafar dengan kelebihan 4,447 undi majoriti.
Sementara itu, ujar Mohd. Kasir, Bersatu Pontian mempunyai 34 cawangan dengan kekuatan keahlian seramai 1,600 orang yang telah bersedia untuk memikul tanggungjawab menghadapi PRN Johor kelak.
Dalam pada itu, beliau yang turut dilantik sebagai Pegawai Media PN Pontian memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussein akan diletakkan sebagai calon Pas bagi kerusi DUN Pulai Sebatang.
Kerusi DUN Pulai Sebatang sebelum ini disandang oleh Ketua Pemuda Amanah Johor, Muhammad Taqiuddin Cheman yang kini beralih ke DUN Mahkota di Kluang.- UTUSAN











