SHAH ALAM: Mangsa banjir dikatakan lebih rela beratur dalam keadaan panas dan hujan berbanding menunggu lebih lama untuk mendapatkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) bernilai RM2,000 daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri di sini.
Mereka mendakwa sudah lebih dua bulan menunggu bantuan tersebut sejak rumah ditenggelami air dalam kejadian bah besar di negeri ini pada 18 Disember lalu terutama di sekitar Klang dan Seksyen 25, Shah Alam.
Tinjauan Utusan Malaysia di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kemuning Utama, Seksyen 35 di sini, petang tadi mendapati, pemohon bantuan sudah pun beratur di pintu masuk seawal pukul 1 tengah hari, walaupun dimaklumkan bahawa kaunter pemberian bantuan dibuka pukul 3 petang.
Ada di antara mereka sanggup berdiri dalam keadaan cuaca panas terik selama beberapa jam sebelum cuaca bertukar hujan kira-kira pukul 4 petang. Dalam masa sama, dianggarkan 10 anggota dan pegawai penguatkuasa MBSA membuat kawalan pergerakan di kawasan luar dan dalam dewan, bagi memastikan jumlah penerima bantuan masuk ke dalam dewan dapat dikawal. Berdasarkan pemerhatian, jangka masa pengagihan bantuan dilakukan cepat, dengan lebih 10 kaunter agihan dibuka di dewan terbabit.
Seorang penerima bantuan, Teh Lay Chin, 75, berkata, dia dan suaminya, Khoo Swee Poh, 76, hanya menunggu lima minit untuk mendapatkan duit dua bantuan itu.
“Petugas di sini memberikan keutamaan kepada warga emas seperti kami untuk masuk ke dewan terlebih dahulu. Apapun, saya ingin ucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Selangor atas pemberian RM2,000 ini,” katanya yang tinggal di Taman Mewah, Klang.
Hal yang sama turut diluahkan seorang penerima bantuan, N. Kalaimani, 44, apabila dia menerima layanan istimewa daripada pihak petugas kerana mengalami kecacatan di kaki kanannya.
Dia berkata, wang tersebut akan digunakan untuk membeli beberapa barang kelengkapan rumah yang rosak akibat bah 17 Disember lalu.
“Walaupun hanya RM2,000, sekurang-kurangnya dapat juga duit bantuan untuk ganti balik duit saya pakai beli barang rumah sebelum ini,” katanya yang tinggal di Kampung Jawa.
Bagaimanapun, seorang penerima, Idayu Abdul Rahman, 35, menegur Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang kerana lambat memproses permohonan pemohon.
Dia yang tinggal di Kampung Jawa berkata, beberapa kali sudah ke PDT Klang bagi mengetahui status permohonannya serta beberapa penduduk yang tinggal berdekatan rumahnya.
“Setiap kali pergi, jawapan yang diberikan pegawai bertugas adalah permohonan masih dalam proses. Agak kecewa dengan jawapan yang diberikan kerana saya dan beberapa penduduk hantar permohonan awal, selang beberapa hari selepas kerajaan pusat umum nak bagi bantuan,” luahnya.
Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Selangor, memaklumkan hampir 14,000 mangsa banjir menerima BWI dan BSB di lima kawasan penyerahan. Lokasi ditetapkan adalah di Kompleks Sukan Pandamaran Majlis Perbandaran Klang (MPK), Klang; Dewan Sri Kerayong, Kapar; Dewan Serbaguna PTD, Klang; Dewan MBSA Kemuning Utama, Shah Alam dan Dewan Kilat TNB, Jalan Kapar. – UTUSAN