PENDANG: Seorang anak tunggal terpaksa mengambil tanggungjawab melakukan kerja-kerja rumah seharian selepas bapa dan ibunya sakit di rumah mereka di Kampung Kola Mawar, Chegar di sini sejak enam tahun lalu.
Mohd. Yusri Haikal, 32, yang bekerja mekanik berkata, dia terpaksa mengurus bapa, Mohd. Yusop Suaiman, 62, yang yang diserang angin ahmar dan ibu, Mahani Salleh, 57, pula menghidap kanser payudara tahap tiga.
Menurutnya, dia sebagai anak tunggal dalam keluarga juga terpaksa membahagikan masa bagi menguruskan kerja-kerja rumah dan kerja sebagai mekanik.
“Menjaga dan menguruskan dua orang tua, memasak, membasuh dan mengemas rumah adalah rutin harian serta saya melupakan aktiviti-aktiviti sosial bersama rakan bagi memenuhi tanggungjawab di rumah.
“Sebagai anak tunggal, saya sanggup mengetepikan keinginan diri demi menjaga kebajikan mereka berdua hingga akhir hayat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kola Mawar Chegar di sini hari ini.
Menurut Mohd. Yusri, bapanya diserang angin ahmar selepas terjatuh di rumah menyebabkan tidak boleh bergerak manakala ibunya pula lemah dan perlu perhatian sepanjang masa kerana kerana mengidap penyakit kanser berbahaya itu.
Tambahnya, ibu bapanya itu menghadapi masalah kesihatan itu dalam tempoh hampir serentak menyebabkan dia terpaksa mengambil alih tugas bapanya sebagai ketua keluarga dan bertindak sebagai suri rumah sepenuh masa.
Katanya, dia bernasib baik kerana mempunyai kemahiran membaiki motosikal yang dipelajari semasa bekerja dengan ayah sebagai seorang mekanik di rumah.
“Pendapatan sebagai mekanik kampung tidak mencukupi untuk menyara kami tiga beranak, namun keluarga terdekat seperti bapa dan ibu saudara serta penduduk kampung banyak membantu serta memberi semangat,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










