KUALA NERUS: Seorang warga emas di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini, mampu meraih RM600 sehari hasil upah memetik buah kelapa menggunakan beruk peliharaannya.
Muhammed Yusof, 71, berkata, aktiviti itu menjadi mata pencariannya sejak lebih 60 tahun lalu, malah hingga kini masih aktif melatih beruk-beruk liar.
Katanya, setiap hari dua ekor beruk dikenali sebagai ‘Abu’ dan ‘Ameng’ yang berusia kira-kira empat tahun dibawa bekerja bermula dari pukul 7 pagi hingga 2 petang.
“Kebiasaannya, lebih 1,000 buah kelapa dapat dipetik dan dijual pada harga 40 sen sebiji, namun tidak ramai yang tahu kerjaya ini menguntungkan.
“Selain di kawasan sekitar, saya turut mendapat permintaan bekerja di luar daerah termasuk di Kuala Terengganu dan Marang,” katanya ketika ditemui semalam.
Muhammed berkata, kerja-kerja melatih haiwan liar itu dilakukan dengan kaedah tersendiri dan lazimnya ia dapat dijinakkan antara satu ke dua minggu.
Katanya, kecekapan Abu dan Ameng bekerja membolehkan haiwan itu menjadi perhatian ramai, malah pernah ditawarkan ribuan ringgit oleh pembeli.
“Ada antara pembeli itu dari luar Terengganu tetapi saya masih sayangkan kedua-duanya kerana inilah punca rezeki saya sejak tahun 1960-an lagi,” katanya yang memiliki empat ekor lagi beruk. – UTUSAN