SHAH ALAM: Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah dan merampas pelbagai jenis barang terlarang itu yang semuanya berjumlah RM521,263.02 dalam dua siri serbuan pada 14 Februari lalu.
Turut ditahan enam individu berusia 22 hingga 41 tahun termasuk sepasang suami isteri dan seorang lelaki warga Indonesia yang memiliki permit tamat tempoh.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, dalam serbuan polis turut menyita dua kereta jenis Honda City dan Proton Waja, sebentuk cincin emas, gelang tangan jenama Pixiu dan rantai leher perak dengan nilai keseluruhan RM80,530.
“Melalui serbuan pertama pada pukul 2 petang, kita menahan seorang lelaki warga tempatan di sebuah kawasan tempat letak kereta di sebuah pangsapuri di Bandar Saujana Putra.
“Susulan tangkapan tersebut, suspek membawa polis ke sebuah rumah sewa dan menahan dua lagi lelaki warga tempatan dan seorang warga asing serta merampas 3,616 gram dadah jenis heroin dan ekstasi (5,000 gram) serta peralatan yang digunakan untuk memproses dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Jefferi memberitahu, siasatan mendapati, rumah sewa itu tidak dijadikan sebagai makmal dadah sebaliknya suspek memproses dadah di sebuah lokasi lain dan menyimpan peralatan di premis terbabit.
“Dalang bagi sindiket ini masih dikesan dan kita percaya kesemua suspek mula bergiat aktif sejak pertengahan tahun lepas dan menjadikan lokasi sekitar Selangor dan Lembah Klang untuk edaran dadah berkenaan,” ujarnya.
Bagi kes kedua, Ahmad Jefferi berkata, sepasang suami isteri ditahan selepas pemeriksaan pada kereta Proton Waja dinaiki mereka mendapati terdapat empat peket plastik lut sinar berisi syabu seberat 51.5 gram dan dua ‘aluminium foil’ berisi 10 biji pil disyaki erimin 5 (5.4 gram) pada pukul 9.10 malam, 14 Februari lalu.
Tambahnya, susulan tangkapan itu, lelaki berkenaan yang bekerja sebagai kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menunjukkan sebuah kereta Perodua Kancil yang diletakkan di tempat letak kereta Apartmen Bandar Bestari, Klang.
“Pemeriksaan dalam kereta Perodua Kancil itu menemui 12 peket plastik lut sinar berisi dadah disyaki jenis heroin seberat 5,179.84 gram, satu plastik bertulis ‘Qing Shan’ berisi syabu (1,080.41 gram) dan 250 ‘aluminium foil’ berisi 7,500 biji pil erimin 5 (2,0990.69 gram).
Kedua-dua kes tidak mempunyai kaitan dan pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dalang dan ketua sindiket terbabit. – UTUSAN