KUALA TERENGGANU: Lebih 50 peratus daripada keseluruhan 951 kekosongan pelbagai jawatan di Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di Kuala Nerus sudah diisi.
Naib Canselor (menjalankan fungsi) Unisza, Prof. Dr. Fadzli Adam berkata, baki kekosongan lain akan diselesaikan secepat mungkin sebelum hospital berkenaan beroperasi tidak lama lagi.
Katanya, setakat ini boleh dikatakan pengambilan kakitangan hospital pengajar dilakukan secara agresif.
“Berdasarkan perancangan awal, Hospital Pengajar Unisza sepatutnya beroperasi April ini tetapi kita menjangkakan sedikit kelewatan atas beberapa faktor,” katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang, Ngeteh Bersama Media di sini semalam.
Fadzli berkata, kelewatan tersebut disebabkan pihaknya masih menunggu perolehan barangan dan peralatan untuk hospital itu.
Hospital Pengajar Unisza setinggi enam tingkat yang dilengkapi 200 katil itu siap sepenuhnya pada 11 Disember 2021.
Selain blok utama, antara kemudahan lain ialah blok kejuruteraan di samping pengurusan jenazah dan hyperbaric. – UTUSAN