Tentera Israel tembak mata remaja Palestin ketika mencari makanan - Utusan Malaysia

Tentera Israel tembak mata remaja Palestin ketika mencari makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Seorang remaja lelaki Palestin berusia 15 tahun ditembak di bahagian mata oleh tentera Israel ketika sedang berusaha mendapatkan makanan untuk keluarganya berhampiran tapak bantuan yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan Israel di Gaza.

Menurut doktor yang merawatnya, remaja itu, Abdul Rahman Abu Jazar berkemungkinan besar tidak akan dapat melihat semula dengan mata kirinya.

Abdul Rahman memberitahu Al Jazeera bahawa tentera Israel terus melepaskan tembakan ke arahnya walaupun dia telah ditembak, membuatkannya menyangka bahawa ini adalah pengakhiran dan ajalnya sudah dekat.

Dari atas katil hospital dengan sebelah mata berbalut kain putih, Abdul Rahman menceritakan detik cemas yang berlaku sekitar jam 2 pagi waktu tempatan.

“Itu kali pertama saya ke tempat pengagihan bantuan. Saya pergi kerana saya dan adik-beradik tidak ada makanan langsung. Kami tak jumpa apa-apa untuk dimakan,” katanya.

Abdul Rahman berkata, dia bergerak bersama orang ramai selama kira-kira lima jam sebelum tiba di kawasan Taman al-Muntazah, di pinggir Bandar Gaza.

“Kami sedang berlari apabila mereka mula menembak. Saya bersama tiga orang lain yang ketiga-tiganya ditembak. Sewaktu kami mula lari, mereka terus melepaskan tembakan. Tiba-tiba saya rasa macam ada kejutan elektrik menyambar tubuh saya sebelum rebah ke tanah.

“Saya rasa seperti terkena renjatan elektrik. Saya tak tahu saya di mana, dan terus pengsan. Bila sedar, saya tanya orang sekeliling, di mana ni?” jelasnya sambil berkata mereka yang berada berhampiran memberitahunya bahawa dia telah ditembak di kepala.

“Mereka masih terus menembak. Saya ketakutan dan terus membaca doa,” katanya.

Seorang doktor di hospital menggunakan cahaya dari telefon bimbit untuk memeriksa matanya yang cedera dan bertanya jika dia boleh nampak sebarang cahaya namun Abdul Rahman tidak dapat melihat apa-apa. Doktor mengesahkan dia mengalami kecederaan tembusan pada mata akibat tembakan.

Abdul Rahman telah menjalani pembedahan dan berharap penglihatannya akan pulih.

Menurut sumber hospital kepada Al Jazeera, sejak pagi Ahad sahaja, seramai 92 orang terbunuh akibat tembakan tentera Israel, termasuk 56 orang yang sedang mencari bantuan makanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN