SHAH ALAM: Penggemar ketum di daerah ini terpaksa menggigit jari kerana terputus bekalan apabila 276 botol air ketum dirampas dalam serbuan dekat sebuah rumah teres di Seksyen 24, semalam.
Lima lelaki berusia 26 hingga 48 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira pukul 4.30 petang.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, serbuan dilakukan selepas risikan seminggu terhadap rumah terbabit yang disewa dengan bayaran RM1,000 sebulan.
Menurut beliau, kesemua suspek mengenali antara satu sama lain dan rumah terbabit dijadikan ‘port’ untuk melepak dan menjalankan aktiviti pengedaran ketum.
“Suspek pertama bekerja sebagai penghantar makanan, kedua bekerja bersama isteri sebagai pengasuh kanak – kanak, ketiga penjaga parkir, keempat kelasi kapal dan yang kelima tidak bekerja. Tiga daripada suspek juga didapati sudah berkahwin.
“Ujian saringan awal mendapati air kencing kesemua suspek negatif dadah, walau bagaimanapun salah seorang suspek ada dua rekod di bawah Akta Dadah Berbahaya (LLPK 1985) manakala empat lagi tiada rekod lampau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baharudin menambah, walau bagaimanapun isteri supek kedua tidak berada di tempat kejadian ketika serbuan dilakukan.
Katanya lagi, ketika serbuan polis merampas satu tong plastik berwarna hijau, dua oren dan dua kotak gabus berwarna putih di ruang dapur rumah tersebut mengandungi 276 botol plastik lut sinar berisi cecair disyaki air ketum yang dianggarkan sebanyak 414 liter dengan nilai rampasan RM4,140.
Jelasnya, operasi rumah terbabit mampu menghasilkan sehingga 400 botol air ketum sebulan serta dijual pada harga RM20 sebotol dan dikenal pasti sudah beroperasi setahun dengan memperoleh bekalan bahan dari utara semenanjung.
Dalam pada itu, Baharudin memberitahu kesemua suspek kini ditahan reman selama tiga hari sehingga 17 Februari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selepas mendapat kebenaran daripada Mahkamah Majistret Shah Alam.
Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang mana jika disabitkan boleh didenda sehingga RM10,000.00 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN