KLANG: Deretan 15 gerai makan di Jalan Besar, Pandamaran di Pelabuhan Klang di sini hangus dijilat api dalam satu kebakaran awal pagi tadi.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.14 pagi sebelum 15 pegawai dan anggota penyelamat beserta jentera dari Balai Bomba Pelabuhan Klang dan Andalas bergegas ke tempat kejadian.
“Pasukan penyelamat tiba di lokasi tujuh minit kemudian. Sampai di lokasi dan membuat size up, didapati kebakaran melibatkan 15 buah gerai makan milik Majlis Perbandaran Klang (MPK), serta sebuah struktur sementara jenis terbuka.
“Anggota bertindak melakukan kerja-kerja pemadaman dengan menggunakan tiga aliran 200 kaki lima pancutan sehingga api padam sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, kebakaran yang berjaya dikawal dalam tempoh hampir 20 minit itu menyebabkan kesemua gerai dan struktur sementara di situ hangus 80 peratus, namun tidak melibatkan mangsa. –UTUSAN










