12 pegawai, 109 anggota tamat kursus APAC  - Utusan Malaysia

12 pegawai, 109 anggota tamat kursus APAC 

KHAIRUL Azmizal Ahmad Natal (dua, dari kiri) memakaikan beret merah manggis dan menyemat sayap berdarah kepada anggota dalam majlis penutup Kursus Asas Pasukan Aturgerak Cepat (APAC) Siri 2/2021 di pekarangan jambatan angkat di Kuala Terengganu hari ini. - PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seramai 12 pegawai dan 109 anggota tentera berjaya menamatkan Kursus Asas Pasukan Aturgerak Cepat (APAC) Siri 2/2021 di pekarangan jambatan angkat di sini hari ini.

Panglima 10 Briged Para, Brigedier Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal berkata, kursus selama empat minggu itu bertujuan mempersiapkan pegawai dan anggota sebagai komponen darat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berdaya juang tinggi di samping memiliki ketahanan mental dan fizikal mantap.

Katanya, pelaksanaan kursus kali ini amat istimewa kerana buat julung kalinya diadakan di Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Seberang Takir berbanding kelaziman di Kem Terendak Melaka. 

“10 Briged Para merupakan sebuah ketumbukan elit dalam Tentera Darat. 

“Objektif kursus APAC adalah untuk membina kekuatan mental dan fizikal sebagai anggota PAC di samping membentuk pengetahuan dan kemahiran sekali gus melayakkan dianugerahkan beret merah manggis yang menjadi kemegahan serta keunggulan ketumbukan ini,” katanya ketika berucap dalam majlis penutup Kursus APAC Siri 2/2021.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Antara pengisian dalam acara penutup itu ialah persembahan demonstrasi dinamik berkonsepkan atur gerak elemen 10 Briged Para yang merangkumi empat segmen iaitu penerjunan free fall, tembakan penembak sniper di jarak 1.2 kilometer, fast roping dan serangan platun ke atas kawasan musuh. 

Terdahulu, Khairul Azmizal turut menyampaikan beret merah manggis dan sayap berdarah kepada pegawai dan anggota yang menamatkan kursus APAC dan Kursus Asas Payung Terjun (APT).

Dalam majlis itu, Anugerah Penuntut Keseluruhan Terbaik diberikan kepada Leftenan Muda Muhammad Syahrul Fadzli Mohd. Ridwan manakala Sarjan Mohd. Fadzli Rosli pula dinobatkan sebagai penerima Ketabahan Terbaik dan Lans Koperal Nik Mohamad Zikri Nik Asli (Jasmani Terbaik). –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN