MUAR: Tak lapuk dek zaman, tak lekang dek usia. Walaupun usianya sudah mencecah lebih satu abad, seorang warga emas teruja untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketika semua pihak bercakap mengenai pengundi muda 18 tahun, Umi Kastawi yang mencecah usia 108 tahun masih bersemangat untuk membuang undi dalam PRN ini.
Umi yang menetap di Kampung Liang Batu dipercayai pengundi tertua di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong dalam Parlimen Pagoh, malah yang paling tua di Johor.
Sementara itu, anak tunggal Umi, Muntingah Ahmad, 72, berkata, ibunya masih kuat untuk menunaikan tanggungjawab mengundi walaupun adakalanya mengalami masalah kesihatan seperti penglihatan dan pendengaran.
“Walaupun masalah kesihatan ibu adakalanya turun naik, tanggungjawab untuk mengundi kali ini tidak akan dilepaskannya kerana ingatannya masih kuat. InsyaAllah kalau keadaannya mengizinkan, dia memang mahu keluar mengundi.
“Saya berharap ada pihak yang sudi membantu ibu untuk ke pusat pembuangan undi terdekat dengan rumah kami nanti,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Liang Batu di sini, semalam.
Katanya, sepanjang 14 kali pilihan raya diadakan, hanya tiga kali ibunya tidak dapat menunaikan tanggungjawab mengundi berikutan masalah kesihatannya.
Sementara itu, cucunya, Nurhayati Khalil, 41, berkata, usia neneknya itu adalah 108 tahun, namun jika diikutkan usia sebenar mungkin sudah lebih berdasarkan tanda bintang pada hujung nombor kad pengenalannya.
“Pada usia muda, nenek sangat mengambil berat perihal pemakanan dan hanya memakan makanan sihat, mengurangkan gula, amalkan ulaman selain tidak gemar memakan daging serta kerap juga berpuasa sunat.
“Bagi PRN kali ini, tentu banyak bezanya dengan PRN terdahulu kerana penularan wabak Covid-19. Nenek saya juga sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 tahun lalu. Jadi saya harap tiada sebarang masalah untuk dia keluar membuang undi nanti,” katanya.
Umi yang dikurniakan seorang anak perempuan, tujuh cucu serta 28 cicit dan tiga piut kini dipercayai menjadi individu kedua tertua di negara ini selepas A. Annamah, 110, yang berada di Pulau Pinang. – UTUSAN











