Sumila mahu habiskan sisa hidup di Temerloh - Utusan Malaysia

Sumila mahu habiskan sisa hidup di Temerloh

ALLAHYARHAM Mat Jamil Mat Elan dan Sumilah yang menetap di Beijing, China.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: “Sumila amat rindu untuk berjumpa keluarga dan warisnya kerana tidak pernah menjejakkan kaki di bumi Malaysia.

“Dia (Sumila) menyesal apabila keluarganya terpengaruh dengan komunisme yang dianggap sia-sia dan berharap dapat menghabiskan sisa kehidupan di kampung halaman di Temerloh.”

Anak bekas komunis, Sumila Mat Jamil, 66, yang kembali ke negara ini setelah berkelana 64 tahun di Beijing, China mahu menghabiskan sisa kehidupannya di kampung halamannya di Temerloh.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, waris terdekat Sumila, Datuk Ahmad Kamal Yahaya berkata, anak perempuan Mat Jamil Mat Elan yang meninggal dunia di Beijing pada usia 80-an pada 2018 mengagumi kemajuan dan perpaduan kaum negara ini.

Beliau berkata, selama 66 tahun Sumila dan ayahnya dilayan sebagai tetamu negara di Beijing, China dengan diberikan sebuah kondominium elit bersama tokoh lain dari luar negara.

Katanya, walaupun dilayan sebagai tetamu negara, tetapi jiwa Sumila meronta-ronta untuk kembali ke Malaysia ibarat peribahasa hujan emas di negara orang, hujan batu di negeri sendiri.

Kelmarin, ketika bercakap kepada Utusan Malaysia, Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Datuk Aripin Said berkata, Sumila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 2.30 petang, Jumaat lalu.

Difahamkan, Sumila dibawa lari ketika berusia dua tahun oleh ayahnya ke China sekitar April 1956 setelah fahaman komunisme yang didoktrin Parti Komunis Malaya (PKM) ditolak rakyat negara ini khususnya orang Melayu.

Sumila ketika ini dikuarantin 10 hari sehingga 31 Januari ini di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut kepulangan Sumila, Ahmad Kamal berkata, saudara maranya di negara ini mengumpul dana untuk membolehkannya kembali ke Malaysia.

Beliau berterima kasih kepada pemerintah China yang memberi layanan terbaik kepada Sumila dan ayahnya selama 66 tahun mereka berkelana di Beijing.

Menurutnya, pelbagai perkara akan diputuskan selepas 31 Januari ini apabila mereka dapat berkumpul di rumah dan berbincang tentang masa depan Sumila.

Tambah beliau, ahli keluarganya di Malaysia begitu teruja apabila Sumila telah pun kembali ke negara ini.

“Walaupun sebelum ini dia berkelana di China, tetapi perkembangan dan kemajuan Malaysia sentiasa diikuti rapat oleh Sumila menerusi internet.

“Sumilah juga sentiasa menghubungi saudara mara di negara ini khususnya di sekitar Kampung Raja Songsang dan Lubuk Kawah Temerloh,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN