Sinar baharu buat mangsa banjir - Utusan Malaysia

Sinar baharu buat mangsa banjir

Ismail Sabri Yaakob (dua dari kiri) mendengar taklimat Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Dr. Zaini Ujang mengenai sistem ramalan dan amaran banjir ketika melakukan lawatan kerja ke Pusat Ramalan Dan Amaran Banjir Negara di Kompleks Jabatan Pengairan dan Saliran di Ampang semalam.- UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri memberi jaminan pemberian tunai kepada mangsa banjir boleh mencecah RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah manakala yang mengalami kemusnahan kediaman, jumlah bantuan boleh mencecah sehingga RM61,000 bagi setiap keluarga.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan tersebut adalah antara usaha kerajaan mengurangkan bebanan rakyat tanpa mereka perlu mengeluarkan wang simpanan menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing.

Menurut beliau, dengan usaha tersebut, pencarum boleh mengekalkan simpanan masing-masing dan menikmati dividen tahunan sekitar 5 peratus sekali gus mereka boleh merancang masa depan selepas bersara dengan lebih baik.

“Bagi melegakan mangsa banjir kerajaan menyediakan bantuan tunai sehingga RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah manakala bagi mereka yang mengalami kemusnahan rumah secara total, jumlah bantuan jauh lebih tinggi dan boleh mencecah RM61,000.

“Saya berharap dengan pemberian ini sedikit sebanyak dapat memberi sinar baharu kepada Keluarga Malaysia,” kata beliau dalam perutusan khas sempena sambutan tahun baharu 2022 di sini semalam.

Menurut Perdana Menteri, selain bantuan-bantuan diumumkan sebelum ini, kerajaan juga akan menyediakan bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga mangsa banjir untuk kerja-kerja pembaikan rumah yang mengalami kerosakan tidak serius.

Bagaimanapun, kata beliau, bagi kerosakan serius, kerajaan sendiri akan mengurus baik pulih rumah dengan kos sehingga RM15,000 manakala bagi rumah yang musnah dan tidak boleh diduduki, kerajaan membantu sehingga kos RM56,000 bagi setiap unit rumah yang dibina baharu.

“Memandangkan banyak sukarelawan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah memberikan sumbangan peralatan kepada mangsa dan untuk mengelakkan pertindihan, kerajaan bersetuju memberikan wang tunai sebanyak RM2,500 khusus untuk pembelian barangan keperluan mengikut kesesuaian masing masing.

“Pemberian ini adalah khas untuk mereka yang mengalami kerosakan barangan akibat banjir,” kata Perdana Menteri.

Antara bantuan yang diumumkan kerajaan sebelum ini ialah Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah berbanding RM500 sebelum ini dengan bayaran sudah mula diberikan sejak 27 Disember lalu, iaitu 10 hari selepas kejadian banjir berbanding sebelum ini yang memakan masa 3 hingga 6 bulan.

Katanya, ini memanfaatkan lebih 45,000 ketua isi rumah, malah angka penerima akan bertambah apabila selesai mengenal pasti mereka yang terkesan tetapi tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan setakat ini seramai 20,000 penerima sudah mendapat manfaat.

Selain itu, kata beliau, baucar tunai sebanyak RM500 bagi pembelian barangan elektrik kepada setiap keluarga mangsa banjir boleh dibuat di premis atau di platform e-dagang yang diiktiraf Kementerian Tenaga dan Sumber Asli yang akan dilaksanakan bermula 7 Januari ini.

Kata beliau, bagi pemilik kenderaan Perodua dan Proton yang terkesan, syarikat ini menawarkan pengecualian bayaran perkhidmatan tunda kenderaan dan upah baik pulih selain diskaun 50 peratus ke atas alat ganti.

“Syarikat lain pula menyediakan perkhidmatan tunda kenderaan secara percuma dan diskaun sekurang-kurangnya 25 peratus ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis yang berdaftar.

“Bagi pemilik kenderaan rosak akibat banjir, kerajaan turut menyediakan baucar tunai sebanyak RM1,000 bagi tujuan pembaikan atau pembelian semua kenderaan yang terkesan termasuk lori, kereta, motosikal dan lain-lain dengan tuntutan boleh dibuat mulai Januari,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN