PUTRAJAYA: Penyaluran subsidi melalui e-wallet merupakan antara mekanisme yang dipertimbangkan oleh kerajaan bagi mengatasi isu penyelewengan dan penyeludupan minyak masak peket serta memastikan ia sampai kepada golongan sasar.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, cadangan itu bagaimanapun memerlukan penelitian terperinci dan sinergi antara kementerian berkaitan seperti Kementerian Kewangan kerana ia melibatkan peruntukan sejumlah dana bagi tujuan itu.
Katanya, kementerian beliau baru-baru ini telah mengadakan pemukiman di Pulau Pinang bersama dengan agensi-agensi berkaitan untuk membincangkan hala tuju tahun 2022.

Salah satu agenda perbincangan katanya ialah mempertimbangkan pelaksanaan e-wallet ini bagi pembelian minyak masak.
“Pihak kementerian sentiasa mencari idea untuk menambah baik bagaimana untuk membantu golongan sasaran bagi membolehkan mereka dapat membeli harga murah selain sistem sedia ada,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan pandangan Pengarah Urusan Mydin Holdings, Datuk Ameer Ali Mydin yang berkata, kerajaan tidak harus takut untuk menghapuskan subsidi minyak peket sebaliknya mencari alternatif bagi membantu kumpulan B40 yang tidak lagi boleh menikmati bantuan tersebut.
Ini kerana pemberian subsidi minyak peket tersebut bukan sahaja ‘dinikmati’ oleh peniaga tempatan dan peniaga warga asing tetapi juga orang kaya sehingga berlaku masalah kekurangan stok bekalan keperluan itu di beberapa tempat di negeri-negeri tertentu.
Bagaimanapun, Alexander berkata, cadangan pemansuhan subsidi boleh menjejaskan golongan B40.
Mengulas lanjut, Alaxender berkata, kaedah e-wallet atau kad subsidi yang sedang dipertimbangkan itu mungkin diperluaskan untuk pembelian barangan keperluan lain yang akan diteliti secara menyeluruh meliputi kebaikan dan kelemahan agar pelaksanaannya nanti tidak menimbulkan masalah lain.
Sebagai contoh, katanya, jika kaedah berkenaan diguna pakai sebagaimana pernah dicadangkan kerajaan terdahulu, harga minyak masak berpeket tidak lagi diberikan subsidi dan mereka perlu membeli pada harga asal yang jauh lebih mahal.
“Bayangkan kalau ada kad yang juga dibenarkan untuk beli keperluan lain, lepas itu dia nak beli minyak, harga tidak ada subsidi lagi sebab sudah tukar sistem subsidi sedia ada. Harga akan jadi mahal, kemudian mereka akan mengeluh dan marah kerajaan juga.
“Atau kita bagi satu kad untuk setiap item, mungkin terlalu banyak kad pula, petrol satu kad, tepung satu kad, gula satu kad, minyak satu kad, payah juga begitu. Sebab itu sistem pada masa ini masih baik digunakan, cuma kita perketatkan penguatkuasaan,” katanya.










