PUTRAJAYA: Seramai 5.8 juta bakal pengundi yang didaftarkan secara automatik akan menyertai 15.3 juta pengundi berdaftar sedia ada menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekiranya Parlimen dibubarkan selepas esok.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, 14 Januari merupakan tarikh pemerakuan dan pewartaan pengundi 18 hingga 20 tahun termasuk 4.6 juta pengundi yang belum berdaftar sebelum ini berusia 21 tahun dan ke atas.
Untuk itu, beliau berkata, SPR bersedia untuk mengadakan PRU-15 jika berlaku pembubaran Parlimen selepas tarikh berkenaan yang melibatkan jumlah keseluruhan 21.1 juta pengundi dengan jangkaan peningkatan perbelanjaan mengurus pilihan raya melebihi RM1 bilion.
“Sebagaimana sedia maklum pendaftaran undi 18 yang dibuat secara automatik dikuatkuasakan 15 Disember tahun lalu. Selaras itu daftar pemilih tambahan sehingga Disember 2021 yang mengandungi bilangan pengundi berumur 18 tahun dan ke atas dicadang untuk diperakukan dan diwartakan pada 14 Januari ini.
“Oleh demikian, sekiranya terdapat kekosongan luar jangka atau pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas tarikh tersebut, maka pengundi 18 tahun dan ke atas terkandung di dalam Daftar Pemilih Tambahan Disember 2021 yang telah diperakukan dan diwartakan itu boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya berkenaan,” katanya ketika ditemui di pejabat beliau di sini semalam.
Sebelum ini, SPR memaklumkan bahawa Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 berhubung dengan had kelayakan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik telah diwartakan pada 1 Disember dan berkuat kuasa pada 15 Disember lalu.
Ia setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bagaimanapun, kelayakan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik tidak dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang lepas walaupun kerajaan telah pun mewartakan arahan tersebut.
Ini kerana, PRN itu hanya melibatkan daftar pemilih pilihan raya terkini yang dikemas kini sehingga 2 November lalu dan daftar pemilih pilihan raya tersebut diperakui sebelum pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak yang Ke-11 pada 3 November lalu, selaras dengan Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002. – UTUSAN









