PRN Johor: UMNO ambil kesempatan ketika pengundi sukar pulang  - Utusan Malaysia

PRN Johor: UMNO ambil kesempatan ketika pengundi sukar pulang 

Nasib tiga ADUN Bersatu sama ada dicalonkan atau tidak bergantung kepada pucuk pimpinan parti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor melihat tindakan mencetuskan Pilihan Raya Negeri (PRN) oleh UMNO sebagai helah untuk mengambil kesempatan ketika ramai rakyat di negeri ini yang berhadapan kesukaran untuk pulang mengundi.

PH Johor dalam satu kenyataan hari ini turut mempersoalkan tindakan itu yang dibuat tanpa mengambil kira keadaan kesihatan dan ekonomi negeri menjadi lebih stabil.

Katanya, PH Johor tetap dengan pendirian bahawa pada ketika ini bukan masa sesuai untuk pilihan raya di saat virus Covid-19 varian Omicron, bencana banjir, isu ekonomi dan sebagainya sedang dihadapi. 

“Penggal pentadbiran berbaki kurang lebih setahun  lagi. Mengapa tidak boleh tunggu sehingga keadaan kesihatan dan ekonomi lebih stabil.

“Kami juga cukup yakin inilah kerisauan, hasrat serta nurani rakyat biasa pada ketika ini. Bahkan pelaksanaan pilihan raya negeri yang bakal menelan belanja sekurang-kurangnya RM150 juta adalah suatu pembaziran wang rakyat.

“Malangnya, UMNO tidak empati kepada rakyat yang sedang berada dalam keadaan sukar,” kata kenyataan bersama oleh Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad semalam mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN untuk memberi laluan kepada PRN Johor.

Menurut kenyataan itu juga, PH Johor sebagai blok pembangkang terbesar di Dewan Negeri telah memberikan kerjasama agar pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik. 

Tambahnya, langkah mengadakan PRN itu dilihat menjerat rakyat dalam keadaan kesempitan akibat penularan wabak Covid-19. 

“Ini adalah pilihan raya yang dipaksa dan mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat. Apa pun, PH Johor akan mengambil segala langkah yang perlu untuk mempersiapkan diri berhadapan situasi ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN