PETALING JAYA: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) meminta Kementerian Pendidikan mengeluarkan surat pekeliling berhubung kebenaran golongan pendidik seperti guru dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bergiat dalam politik.
Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, tindakan itu perlu bagi memudahkan mereka mematuhi garis panduan dalam berpolitik.
Katanya, sekiranya kebenaran ini tidak dikawal dan diurus selia mengikut tatacara serta syarat tertentu, dibimbangi ia akan mengakibatkan profesionalisme guru diabaikan dan golongan itu menjadi alat perkakas demi kepentingan politik tertentu.
“iGuru berharap kebenaran ini tidak mengganggu tugas hakiki seorang guru iaitu memberikan pendidikan yang terbaik kepada murid-murid dan mengelakkan sekolah dijadikan medan politik.
“Sekolah sewajarnya menjadi tempat bebas politik kepartian dari agenda mana-mana parti dan keutamaan guru melaksanakan tugas keguruan serta kependidikan.
“Guru- guru pula perlu profesional dan tahu membezakan tugas sebagai guru serta aktivis politik. Ini bagi mengelakkan mereka bermasam muka akibat perbezaan pandangan politik,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sabtu lalu, media melaporkan, Perdana Menteri mengumumkan golongan pendidik seperti guru dan petugas Kemas itu dibenar bergiat aktif dalam politik sebagaimana rakyat lain, berkuat kuasa serta-merta.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, serentak dengan itu pekeliling terdahulu yang memberi amaran dan menyekat golongan pendidik daripada berpolitik sudah tidak terpakai.
Dalam pada itu, Mohd Azizee berkata, selain dibenarkan guru berpolitik, iGuru juga mencadangkan agar dibenarkan juga diberikan pegawai pendidikan gred DG41 hingga DG48 yang berjawatan untuk aktif dalam kesatuan dengan mengubah Akta Sekerja 1959.
Sementara itu, pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, garis paduan perlu supaya wujud batasan berpolitik supaya warga pendidik tidak menggunakan kesempatan terlibat sehingga menjejaskan peranan sebagai warga pendidik.
Katanya, kebenaran berpolitik dalam kalangan guru tidak menjadi masalah asalkan mereka mematuhi etika sebagai warga pendidik dan tahu garisan sewaktu waktu pengajaran.
“Memang kita tahu ada kebimbangan terhadap keputusan ini, namun, adalah lebih baik pihak kementerian mengeluarkan satu garis panduan supaya para guru yang ingin berpolitik tahu batasan.
“Para guru yang telah diberikan kebenaran berpolitik haruslah bijak menjaga profesionalisme keguruan mereka dan tidak mencampur adukan dengan kepentingan politik kepartian,” katanya. – UTUSAN










