JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor yang berhasrat untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya akan mengulangi formula kegagalan seperti Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sehubungan itu cadangan mereka mahu bersama-sama antara satu sama lain itu dilihat hanya akan memudaratkan negara.
“Formula itu sudah dilakukan dalam PRU-14 dan hasilnya boleh dilihat selepas itu apabila mempunyai kerajaan yang gagal.
“PH mahu kerjasama dengan semua pembangkang hadapi PRN Johor, bukankah itu pendekatan PRU-14, kesannya bila menang dapat kerajaan rojak, kerajaan suku-suku, kerajaan tak berfungsi, kerajaan yang gagal dan kerajaan yang ada macam tiada.
“Perdana Menteri dan Menteri Besar asyik bertukar,” ciapnya menerusi laman Twitternya miliknya, hari ini.
Semalam, PH menerusi satu kenyataan bersama menyatakan hasrat untuk gabungan itu bekerjasama dengan parti pembangkang lain bertanding dalam PRN Johor di bawah satu khemah besar.
Parti pembangkang itu termasuklah Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).
Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan memberitahu pihaknya akan bermesyuarat berkenaan PRN Johor pada 9 Februari depan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkenaan PRN Johor.- UTUSAN










