Tasik Chini adalah KPI komitmen alam sekitar negara

Tasik Chini adalah KPI komitmen alam sekitar negara

Mingguan Malaysia keluaran 4 Januari 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Tasik Chini di sini disifatkan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) komitmen kerajaan dalam memulihara alam sekitar yang menjadi perhatian dunia, sekali gus perlu dijadikan keutamaan bagi mengelak imej negara tercalar di peringkat antarabangsa.

Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Dr. Ahmad Ismail berkata, semua usaha memulihkan kualiti tasik itu dan kawasan sekitarnya mesti dilaksanakan secara serius bagi memastikan status Tasik Chini Rezab Biosfera (TCRB) tidak ditarik semula oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Katanya, setiap kriteria pemulihan mesti dipantau dan mendapat khidmat nasihat pakar dalam usaha memastikan rezab biosfera pertama negara tersebut dalam keadaan stabil sebagai sebuah ekosistem yang berfungsi.

“Seluruh kawasan tanah tinggi di Tasik Chini hingga ke Sungai Chini perlu dilihat daripada segala aspek ekologi, geologi dan hidrologi. Ini penting kerana proses audit status biosfera Tasik Chini dijalankan pada 2029.

“Negara rugi besar jika status rizab ini ditarik balik kerana pengiktirafan UNESCO membo­lehkan kita menerima dana penyelidikan, membangunkan ka­wasan dan mewujudkan ke­giatan ekonomi untuk masyarakat tempatan dan Orang Asli.

“Pahang yang sudah sinonim dengan kekayaan kepelbagaian flora dan fauna dan Orang Asli sudah tentu peranan Tasik Chini cukup bermakna kepada negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, Tasik Chini yang pernah menjadi kebanggaan negara dan ikon pelancongan alam sekitar bertaraf dunia, kini berdepan kemerosotan ketara apabila kerosakan ekosistem dan tiada daya tarikan semula jadi menghimpit kawasan itu.

Walaupun diiktiraf sebagai rezab biosfera, realiti di lapangan memperlihatkan tasik legenda itu seolah-olah dibiarkan tanpa usaha tuntas, sekali gus menjejaskan reputasinya sebagai tapak pemuliharaan dan pelancongan lestari.

Dr. Ahmad berkata, perancangan jangka panjang ialah program pemulihan sistematik dan berterusan agar keseluruhan kawasan Tasik Chini berfungsi daripada segi ekologi yang stabil.

“Kawasan mesti dilindungi dan menerima gangguan minimum yang boleh menjejaskan kestabilan ekologi tempatan,” katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan penginapan di Tasik Chini mesti bersesuaian dengan ekosistem rizab biosfera UNESCO kerana tujuan pengunjung ke tasik semula jadi itu adalah untuk melancong atau pendidikan berasaskan alam semula jadi.

Katanya, kemudahan disediakan perlu menarik dan bermaklumat selain tidak bercanggah dengan konsep biosfera ditetapkan UNESCO.

“Rizab ini bukan sekadar ekopelancongan biasa, apatah lagi aktiviti rekreasi yang boleh menjejaskan kelestarian. Sebarang konflik yang mengganggu keaslian Tasik Chini akan menjejaskan semua matlamat berkaitan kelestarian rizab biosfera UNESCO,” katanya.

Beliau berkata, berkemungkinan sebuah jawatankuasa khas kelestarian Tasik Chini sudah diwujudkan bagi memantau keadaan tasik secara berkala, sekali gus memastikan semua pihak memahami dan menghormati kepentingan menjaga keaslian kawasan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN