LARUT: Tindakan peserta Perhimpunan Tangkap Azam Baki di ibu negara hari ini melanggar undang-undang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, mereka melanggar undang-undang kerana berhimpun beramai-ramai.
“Mereka yang berhimpun mahu memperjuangkan keadilan undang-undang namun tidak sedar tindakan mereka itu telah melanggar undang-undang kerana berhimpun beramai-ramai.
“Kita tak mahu orang melanggar undang-undang tapi kita sendiri pula yang melanggar undang-undang,” kata beliau selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia di Arena Square Kampung Masjid Ijok, Selama, dekat sini hari ini.
Mengenai pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, Hamzah berkata, kerajaan memberi jaminan akan menggunakan segala perundangan untuk kes tersebut.
“Suruhanjaya Sekuriti telah pun mengeluarkan kenyataan, jadi kita serah dulu pada suruhanjaya itu.
“Selepas itu, kalau ada lagi tindakan selanjutnya, sebagai Menteri Dalam Negeri sedia melihat kaedah-kaedah lain termasuk menggunakan segala undang-undang yang ada untuk kendalikan kes.
“Jadi, tak perlulah untuk mendahului orang lain dalam soal ini sebaliknya seràhkan sepenuhnya pada badan perundangan untuk menentukannya,” katanya. – UTUSAN