Peruntukan tambahan RM12.5 juta urus sisa pepejal pasca banjir - Utusan Malaysia

Peruntukan tambahan RM12.5 juta urus sisa pepejal pasca banjir

REEZAL Merican Naina Merican dan Amirudin Shari (dua dari kanan) mendengar sesi taklimat Program Mega Pembersihan Pasca Banjir di Taman Sri Muda di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyediakan peruntukan tambahan RM12.5 juta bagi pengurusan sisa pepejal pasca banjir di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, untuk Selangor sahaja  RM5.037 juta telah diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

“Peruntukan tersebut termasuk pengurusan sampah pasca banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 iaitu salah satu kawasan yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini.

“Hari ini pun kita bersama Kerajaan Negeri Selangor dan 2,100 sukarelawan, kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan pembersihan mega secara bersepadu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Taklimat Program Mega Pembersihan Pasca Banjir oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari di Jalan Telus, Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini hari ini.

Reezal Merican berkata, KPKT terdahulu telah memperuntukkan RM50 juta untuk membaiki kemudahan awam dan padang di bawah bidangkuasa KPKT yang rosak akibat banjir.

“Bagi kerja membaiki rumah dan lain-lain kita akan bermesyuarat dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi menentukan tindakan selanjutnya,”katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan meneruskan agenda merangka pelan pemulihan jangka panjang bagi meningkatkan sistem perparitan dan saliran di kawasan Taman Sri Muda pada bulan depan.

“Bagi merangka pelan pemulihan jangka panjang sistem perparitan dan saliran di Taman Sri Muda pihak kerajaan negeri melalui pihak Exco Infrastruktur, Ir.Izham Hashim akan membincangkan perkara tersebut menerusi sesi ‘retreat’ yang diadakan Februari depan,” katanya.

Dalam pada itu Zamani berkata, kerja-kerja pembersihan pasca banjir tersebut fokus untuk membersihkan longkang di belakang perumahan  penduduk dan lorong yang sebelum ini tidak dapat dilalui disebabkan dihalang oleh sampah banjir yang bertimbun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN