fbpx

Pengantin 18 hari maut dirempuh Persona

MOTOSIKAL ditunggang Anwarie Azim remuk keseluruhan bahagian selepas dirempuh dalam kemalangan di kilometer 196.6 PLUS arah Selatan berhampiran Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang mekanik hanya sempat bergelar suami selama 18 hari sebelum ditemuikan maut dalam nahas di Kilometer 196.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, mangsa Anwarie Azim Rozi, 23, yang baru melangsungkan perkahwinannya pada 1 Januari lalu disahkan meninggal dunia di lokasi. 

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dalam perjalanan ke Ayer Keroh di sini dari tempat kerjanya di Seremban, Negeri Sembilan. 

Katanya, setibanya di lokasi motosikal mangsa  dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta Proton Persona  yang dalam perjalanan dari Selangor ke Ayer Keroh. 

“Siasatan awal di lokasi mendapati mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di lorong pertama.

“Bagaimanapun kita menemukan kesan geseran di lorong kedua dan dipercayai mangsa telah dirempuh dari belakang oleh sebuah Persona di lorong tersebut sebelum tercampak,” katanya. 

Ujarnya, akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

“Motosikal mangsa remuk keseluruhan bahagian. 

“Kita berharap saksi kemalangan dapat tampil membantu siasatan kerana kita dapati kawasan tersebut tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya. 

Dalam pada itu, Arshad turut memaklumkan, mangsa yang beralamat di Tambak Paya dalam daerah Melaka Tengah baharu sahaja mendirikan rumah tangga pada awal bulan ini. 

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI