ARAU: Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menegaskan, pandangan dan pendirian pimpinan bawahan Pas berhubung soal Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN) sehingga mencetuskan ketegangan bukan mewakili suara parti.
Katanya, budaya serang menyerang khususnya dalam media sosial hanya mengeruhkan keadaan sekali gus menggugat kehormonian MN atau PN.
Menurutnya, jika ada sekalipun itu hanyalah pandangan peribadi.
“Ia bukan pendirian parti, tidak perlu diperbesar-besarkan di media. Lainlah kalau yang bercakap itu Presiden, Timbalan Presiden atau Ketua Penerangan Pas sendiri.
“Benda-benda yang kecil begini sepatutnya dielakkan daripada bertembung sesama sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Hashim mengulas sikap segelintir pemimpin Pas yang masih menggunakan media bagi mencetuskan perbalahan sesama rakan dalam MN dan PN terutama ketika menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Hashim turut mengingatkan pemimpin dan ahli Pas supaya mengelak menjadikan media sebagai medium perantara bagi menyelesaikan krisis parti dalam MN dan PN.
Sementara itu, Hashim berkata, kejayaan dan usaha perpaduan ummah bukan kerana UMNO atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semata-mata sebaliknya adalah perintah Allah SWT.
Katanya, meskipun wujud perbezaan pendapat dalam kalangan ketiga-ketiga parti Melayu Islam itu, namun usaha ke arah penyatuan diteruskan.
“Kita sudah bergerak ke arah perpaduan ummah, kita berada pada landasan betul meskipun mungkin ada dugaan dan cabaran,” katanya. – UTUSAN











