PETALING JAYA: Penamatan Operasi Benteng (Op Benteng) berpotensi memberi ruang ketirisan dalam kalangan anggota penguatkuasaan yang bertugas di sesebuah kawasan.
Ini kerana, penglibatan satu atau dua agensi dibimbangi boleh menyebabkan berlakunya dominasi di sesebuah kawasan operasi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Leftenan Jeneral (B) Datuk Mohd. Salleh Ismail berkata, operasi membabitkan pelbagai agensi juga dapat mengelakkan pertindihan tugas dan memudahkan segala urusan sekiranya berlaku keadaan yang memerlukan tindakan pantas.
“Setiap agensi ada budaya kerja dan peranan tersendiri. Sebagai contoh, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Gerakan Marin (PGM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia ) ada kawasan serta bidang tugas tersendiri. Apabila berlaku sesuatu kejadian mereka boleh menyelaraskan tugasan masing-masing.
“Paling penting, apabila melibatkan beberapa jabatan lain, anggota yang bertugas sukar untuk bawa budaya yang mereka pakai sebelum ini dan terapkan dalam anggota agensi lain. Ini termasuklah budaya rasuah. Selain itu, jika anggota pelbagai agensi bertugas bersama-sama, mereka boleh lihat dan pastikan setiap budaya kerja yang tidak bagus boleh ditegur atau buat laporan kepada pihak atasan,” katanya semalam.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Op Benteng di bawah NTF bagi mengawal sempadan negara secara bersepadu akan ditamatkan Jun ini.
Katanya, segala perancangan dan pelaksanaan berhubung operasi berkenaan perlu kembali kepada KDN.
Sebagai rekod, Op Benteng diaktifkan pada 12 Mei 2020 melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan beberapa agensi lain antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Tambah Mohd. Salleh, isu masalah kekurangan aset atau aset yang usang juga dapat diatasi menerusi operasi melibatkan pelbagai agensi.
Dalam pada itu, Mohd. Salleh berkata, sempadan negara dan Indonesia di Sarawak serta beberapa negeri lain yang luas serta panjang juga perlu dijadikan pertimbangan agar Op Benteng tidak ditamatkan sebegitu sahaja.
Malah tegasnya, ia sebaliknya perlu ditambah baik mengikut keperluan dan ancaman semasa termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) serta membina tembok.
“Kalau sebut sahaja operasi, kita pastikan ia berterusan dan jaga momentum. Tentukan juga keadah penguatkuasaan yang betul-betul tegas. Setinggi mana kos penyelenggaraan operasi pun, kita perlu jaga,” ujarnya. – UTUSAN











