PETALING JAYA: Pemandu lori membawa muatan pasir yang merempuh dua kereta dan sebuah motosikal yang diparkir di bawah rumah kedai Sri Bayu, Ampang di sini dipercayai positif dadah jenis syabu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, hasil saringan awal air kencing yang dijalankan juga mendapati pemandu lori yang berusia 39 tahun itu positif dadah selain memiliki dua rekod jenayah lampau tahun 2015 (tidak dikehendaki).
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di lampu isyarat Jalan Bukit Permai ketika lori yang membawa muatan pasir seberat 22 tan dari arah Hulu Langat menuju ke kawasan Ampang.
“Semasa berhenti di persimpangan lampu isyarat, lori tersebut dipercayai hilang fungsi brek lalu melanggar dua buah kereta dan sebuah motosikal yang diparkir di bawah rumah kedai Sri Bayu.
“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan hanya melibatkan kerosakan pada kenderaan-kenderaan yang terlibat,” ujarnya dalam kenyataan malam tadi.
Tambah Mohamad Farouk, siasatan lanjut mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada kegagalan brek kenderaan itu.
“Polis akan mengemukakan permohonan reman dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dan kes disiasat dibawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.- UTUSAN










